Baru sahaja pada bulan Mei lalu MyTeksi telah menerima suntikan dana pelaburan berjumlah USD 15 Juta (~RM 48 Juta) dari GGV Capital, Qunar & Vertex Venture Holdings (Series-B). Kini mereka mengumumkan telah menerima pelaburan baru yang lebih tinggi (Series-C) dari Tiger Global Management dan juga Hillhouse Capital Management. Dengan pelaburan baru ini, MyTeksi telah mencatat rekod memperoleh dana sejumlah USD 90 Juta ( RM 288 Juta ) dalam tempoh setahun.
Tiger Global Management berpangkalan di Amerika Syarikat telah membuat pelaburan kepada Flipkart, Netflix dan Survey Monkey manakala Hillhouse Capital Management dari China pula merupakan antara pelabur kepada syarikat Tencent. Melalui pelaburan Siri-C ini, MyTeksi turut menyatakan sebahagian dari pelaburan yang diterima akan digunakan untuk meluaskan perkhidmatan disekitar Malaysia disamping melancarkan beberapa program khusus buat pemandu teksi mereka.
Antara program yang bakal dijalankan adalah mewujudkan dana untuk pemandu teksi dan keluarga mereka. Melalui program ini, beberapa kelas akan diadakan buat pemandu teksi seperti kelas bahasa, dan kelas kemahiran. Malah baru-baru ini, MyTeksi telah menyumbangkan baucar buku berjumlah RM25,000 kepada setiap 500 anak-anak pemandu teksi. MyTeksi juga akan mengadakan acara rekreasi khusus untuk keluarga-keluarga pemandu teksi. Program pembaharuan teksi juga akan dilakukan bagi menaiktaraf teksi yang sedia ada, sekaligus mengurangkan beban pemandu serta memberikan pengalaman baru buat pengguna teksi.
Bersempena pengumuman Siri-C ini, MyTeksi turut menawarkan kesemua pengguna diskaun RM8 bagi menempah teksi mereka melalui aplikasi mudah alih mereka. Pengguna hanya perlu memasukkan kod [ Celebrate ] didalam ruang kod promosi pada aplikasi. Penggunaan ini hanya terhad sekali sahaja buat setiap pengguna dan kupon diskaun ini sah digunakan bermula 21 Oktober sehingga 4 November.