Mozilla merupakan salah satu badan dan jenama yang tidak berasaskan keuntungan, dan memfokuskan kepada pembangunan piawaian berasaskan sumber terbuka. Kini, jenama yang popular dengan pelayar web Firefox, turut hadir dengan web majalah mereka tersendiri dinamakan sebagai “The Open Standard“.
Penerbitan online boleh dikatakan telah memudahkan pelbagai jenama menyertai arena penerbitan tanpa kos yang tinggi. Beberapa jenama telah hadir dengan penerbitan online mereka tersendiri dalam membolehkan mereka berinteraksi dengan pembaca, disamping pada masa yang sama menyampaikan info berguna kepada pengguna dan pelanggan mereka.
Mozilla mengatakan mereka telah memfokuskan kepada piawaian terbuka sejak dulu lagi, dan melalui Open Standard, mereka ingin menyampaikan pelbagai idea dan pandangan berkenaan dengan sistem terbuka meliputi kehidupan harian pengguna. Untuk makluman, pihak Mozilla pernah hadir dengan penerbitan mereka tersendiri dinamakan sebagai Mozilla Voices, dan ia telah dijenamakan kepada The Open Standard pada bulan September yang lepas.
Buat masa ini, pihak Mozilla memfokuskan kepada penerbitan artikel daripada editor dan penulis mereka sahaja, dan mengatakan akan membuka platform penerbitan mereka untuk menerima sumbangan pengguna lain tidak lama lagi.
- Layari : The Open Standard