Barangan pintar semakin membanjiri pasaran. Kini terdapat power bank pintar dan juga cermin belakang kereta pintar. Kesemuanya dihasilkan bagi memudahkan kehidupan manusia dan menjadikan kita semakin bergantung kepada teknologi terkini. Hari ini kami akan menulis tentang Bluesmart. Ianya sebuah beg pakaian pintar untuk kegunaan pengembara moden. Ada beberapa fungsi menarik yang menjadikan Bluesmart sebuah beg pakaian pintar.Pertama sekali lokasinya boleh dikesan dengan menggunakan aplikasi khas. Sekiranya anda gagal mencari beg selepas mendarat, anda boleh mengesan lokasinya dengan aplikasi GPS. Apabila ia ditinggalkan, beg ini boleh memberikan notifikasi kepada peranti anda supaya anda tidak terlupa untuk membawanya bersama. Sistem kuncinya juga boleh dibuka dengan menggunakan peranti tanpa memerlukan sebarang anak kunci. Sebuah power bank terbina juga disertakan bagi membolehkan anda mengecas peranti di lapangan terbang. Tidak lagi perlu mencari palam elektrik ketika kecemasan. Pada pemegang beg terdapat mesin penimbang yang memudahkan anda mengetahui berat beg anda. Akhir sekali terdapat ruang khas untuk menyimpan kesemua peranti elektronik. Ianya mudah diakses bagi mempercepatkan proses melalui kawalan keselamatan di lapangan terbang. Kami kerap ke lapangan terbang dan kesemua fungsi-fungsi pintar Bluesmart sangat menarik minat kami. Harga jualan bermula dari RM 705 dan ini pada pendapat kami adalah berpatutan. Agaknya apakah barangan pintar yang akan tercipta selepas ini?
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.
dengan akaun AmanzMe anda untuk komen.