Carian
WD My Passport Wireless Dilancarkan Secara Rasmi Buat Pasaran Tempatan
October 21, 2014 Ikhwan Nazri

Western Digital yang telah mengumumkan berkenaan produk mereka WD My Passport Wireless pada acara IFA bulan lepas kini telah melancarkan peranti ini untuk pasaran tempatan. Peranti terbaru ini merupakan produk dalam keluarga My Passport yang mudah dibawa kemana-mana dan ditawarkan dalam saiz yang kecil serta menyokong pemindahan fail tanpa menggunakan wayar.

Peranti ini yang menyediakan storan berkapasiti besar membolehkan pengguna mengakses fail-fail yang disimpan melalui sambungan secara WiFi. Melalui aplikasi WD My Cloud yang terdapat pada platform iOS dan Android, pengguna juga boleh menonton video yang disimpan didalam peranti ini. Bagi jurugambar dan jurukamera, terdapat slot kad SD bagi memindahkan fail-fail dari kad SD ke dalam My Passport Wireless sekaligus tidak memerlukan mereka untuk membawa laptop kemana-mana.

WDMYPassport_IMG_796-2

Dari segi teknikal, sokongan WiFi yang tersedia pada peranti ini adalah Wireless N MIMO membolehkan pemindahan fail dilakukan dengan pantas dan sehingga 4 video HD boleh dimainkan serentak pada 4 peranti berbeza. Terdapat juga sokongan USB 3.0 bagi tujuan pemindahan data dan juga pengecasan bateri. Melalui aplikasi WD My Cloud, pengguna juga boleh mengakses fail-fail storan awan yang lain antaranya Dropbox, OneDrive, dan juga Google Drive.

WDMYPassport_IMG_7950

My Passport Wireless tersedia dalam dua tawaran kapasiti iaitu 1TB pada harga RM 599 dan 2TB pada harga RM699. Kami akan membawakan ulasan penuh berkenaan peranti ini tidak lama lagi. 

Komen