Cari @ Amanz

Terdapat pelbagai laptop di pasaran pada masa kini yang mula mempunyai cip pemprosesan grafik (GPU – Graphical Process Unit) terbina bersama-sama dengan CPU. Cip pemprosesan yang menggabungkan keduanya dipanggil APU ( Accelerated Processing Unit ) dan bermula tahun lepas AMD telah melancarkan pelbagai APU. Kami baru sahaja selesai menguji Laptop HP 15-G012AX yang hadir dengan AMD APU A8-6410 Quad Core yang dilengkapi Radeon R5 Graphics.

[amanz-gallery]

Rekabentuk & Spesifikasi

Dari segi rekabentuk laptop yang mempunyai paparan 15 inci ini, ia mempunyai bentuk yang biasa dan hadir dengan bahan buatan plastik. Badannya tampil berkilat dan licin termasuklah pada bahagian tempat meletak tangan untuk menaip. Papan kekunci chicklet disertakan dengan papan kekunci bernombor dan tidak banyak butang-butang tambahan. Touchpad-nya pula tampak biasa dan mengikut selera peribadi saya, ia hanya memadai dan tidak sebagus Trackpad pada laptop saya. Ia boleh dikatakan laptop pada kelas asas, serta mempunyai tekstur kasar pada bahagian bawah komputer ini. Beratnya pula sekitar 2.23 kilogram.

Antara sambungan lain termasuklah slot kad-SD pada bahagian depan komputer, 1 USB 3.0 yang terletak disebelah HDMI, 2 USB 2.0 yang terletak bersebelahan pemacu cakera keras DVD, fon audio, dan kunci Kensington. Lubang pengudaraannya pula terdapat disebelah kiri dan dibahagian bawah laptop. Ia mempunyai kapasiti storan sebesar 500GB dan hadir dengan Windows 8.1 64-bit. Cip AMD Mullins APU A8-6410 Quad Core 2Ghz 2 MB Cache dengan Radeon R5 Graphics dilengkapi AMD Radeon HD 8570M dengan 2GB RAM DDR3. Meskipun mempunyai RAM sebanyak 4GB, hanya 3.5GB boleh beroperasi menurut Geekbench & CPU-Z.

Prestasi

Setelah sebulan mencuba laptop ini, ia boleh dikatakan mempunyai jangkahayat bateri yang agak bagus untuk tugas-tugas normal seperti mencatat nota, membalas emel, melayari internet serta mendengar lagu. Saya pernah menggunakannya untuk menghadiri seminar dari pukul 10 pagi sehingga pukul 5 petang dan ia mampu bertahan sehingga pukul 4 petang tanpa penggunaan yang terus-menerus. Menariknya, ia juga seolah-olah tidak menjana haba dengan banyak sekaligus memaksimumkan penggunaan bateri.

Bagi penyuntingan gambar menggunakan perisian Photoscape, laptop ini dilihat sedikit perlahan dalam memuatkan gambar dari kad SD. Ia mungkin juga disebabkan saya mempunyai beratus-ratus gambar serta video didalamnya. Semasa penyuntingan video Mingguan Amanz juga, saya menghadapi masalah semasa mencuba Adobe Premiere pada laptop ini dimana sedikit lengah masa dialami dalam prosesnya. Namun bagi tujuan rendering kelajuannya memuaskan. Video 1080p berdurasi kurang dari 5 minit dapat dijana dalam tempoh 15-20 minit.

Saya turut mencuba memainkan permainan Portal 2. Kualiti grafik yang terhasil agak baik dan tiada sebarang lengah masa dialami. Permainan dapat dimainkan secara lancar meskipun pada tetapan visual yang tinggi seperti gambar diatas. Saya fikir sekiranya laptop ini dapat memainkan permainan ini dengan tetapan tertinggi, sudah tentu permainan generasi baru dapat dimainkan dengan mudah menggunakan tetapan visual yang berkadaran. Dari segi penghasilan bunyi pada laptop ini, ianya sekadar biasa dan tiada yang mengagumkan.

Laptop ini berada dalam kategori kelas asas dan seperti yang difahamkan oleh pihak AMD, laptop dengan cip AMD APU A8 ini sememangnya dibina untuk tahap permainan video dengan kualiti visual asas. Menurut mereka, laptop ini berkemampuan untuk memainkan permainan seperti Diablo 3 mahupun DoTA 2. Laptop ini dijual pada harga RM 1,699 dan sekiranya anda seorang pelajar, saya dapat rasakan laptop ini memenuhi kehendak anda.

Pro

  • Penggunaan tenaga yang efisien.
  • Berkemampuan untuk memainkan permainan tanpa sebarang masalah.
  • Harga mampu milik.

Kontra

  • Berkemungkinan terdapatnya lengah masa kerana kuantiti RAM tersedia. Hanya 3.5GB.
  • Oleh kerana kuantiti RAM yang sedikit, penggunaan aplikasi penyuntingan video dan 3D juga mungkin akan mempunyai lengah masa.
  • Berat.

  • Info
  • Khas untuk anda, kami akan berikan set ulasan dari AMD Malaysia ini kepada salah seorang daripada anda yang bertuah. Cuma tinggalkan komen mengatakan mengapa anda inginkannya, dan komen paling menarik akan memenanginya.

    • P/SSet ulasan adalah set yang telah dibuka oleh kami untuk tujuan ulasan dan telah digunakan selama sebulan.
    • Kami akan membuang segala permainan dan perisian yang telah digunakan serta mengembalikan kesemua tetapan kepada yang asal.
    • Komen dalam bahasa Malaysia sahaja yang akan dipilih sebagai pemenang. Komen sebelum 30 Oktober 2014, pada pukul 2359 sahaja akan dikira.
    • Komen dalam bentuk video tidak dibenarkan.
    • Hanya akan dihantar ke alamat di dalam Malaysia sahaja.
    • Alamat emel yang digunakan ketika menghantar komen akan digunakan untuk tujuan menghubungi pemenang yang terpilih.

  • Info
  • Tahniah kepada pemenang: Afifi Shamsuri
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd