Setiap kali ke restoran atau kafe, salah satu proses yang sering dilalui adalah membuat tempahan kepada pelayan kedai, dan kemudian menantikannya. Kadang-kala tempahan kita tersilap hantar dan sebagainya. Untuk mengatasi perkara ini, kini salah satu syarikat tempatan hadir dengan sebuah sistem khusus dinamakan sebagai Slurp.
Slurp merupakan sebuah sistem untuk pengurusan jualan, dimana menggunakannya pemilik restoran atau kedai boleh memudahkan proses pelanggan membuat tempahan dan menguruskannya dengan mudah tanpa tersilap.
Untuk pelanggan pula, mereka hanya perlu memuat-turun sebuah aplikasi khusus, dan menggunakan ia dalam membuat tempahan makanan dan minuman dikedai-kedai yang menggunakan sistem Slurp ini.
Dari segi proses tempahan, pelanggan yang ingin membuat tempahan, hanya perlu menggunakan peranti mereka dan mengimbas kod QR yang terletak diatas meja mereka. Perkara ini sekaligus mengurangkan penipuan dari segi tempahan yang diterima, dan pada masa yang sama membolehkan pemilik kedai mengetahui di meja manakah pelanggan mereka menantikan makanan atau minuman yang dipesan.
Sebaik sahaja selepas mengimbas kod QR, mereka akan diperlihatkan dengan menu, dan mereka boleh memilih apa yang diinginkan melaluinya. Selesai membuat tempahan, ia akan diproses dan seterusnya makanan akan dihantar terus ke meja anda.
Selain membuat tempahan, pengguna juga turut boleh meminta resit bayaran selepas selesai makan dan minum kedai tersebut.
Penggunaan Slurp ini dilihat mengurangkan kos operasi sesebuah restoran, disamping menjadikan ia lebih efektif dan memudahkan pelanggan membuat tempahan. Sistem Slurp juga membolehkan pemilik restoran untuk memantau jualan mereka, disamping melihat berapakah masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu tempahan makanan.
Sekiranya anda mempunyai restoran atau kedai yang ingin menggunakan sistem Slurp ini, mungkin boleh menyemak halaman rasmi mereka. Penawaran Slurp untuk kedai hadir dalam pilihan Slurp Basic dan Slurp Premium yang mana dibahagikan mengikut kuantiti kedai dan cawangan yang dimiliki seseorang. Slurp Basic memfokuskan kepada tiga cawangan ke bawah, sementara Slurp Premium adalah kepada pemilik lebih daripada tiga cawangan kedai.
- Layari : Slurp