Cari @ Amanz

Xiaomi Memindahkan Data Pengguna Ke Luar China – Akses MiCloud Lebih 2 Kali Ganda Pantas

Oleh Aman

Link Copied!

Xiaomi sebelum ini telah hadir dengan beberapa kontroversi melibatkan data pengguna. Terkini, hari ini melalui halaman Google+ milik Hugo Barra, beliau mengumumkan yang mana Xiaomi akan memindahkan data pengguna antarabangsa ke pelayan di luar China.

Melalui pemindahan ke pelayan di luar China, pihak Xiaomi mengatakan ia akan menjadikan perkhidmatan awan mereka seperti MIUI Cloud Messaging dan MiCloud lebih pantas berbanding kebiasaan.

Memberikan contoh untuknya, Hugo Barra mengatakan pengguna di Malaysia boleh mengakses MiCloud dengan lebih 2-3 kali ganda pantas berbanding sebelum ini ketika sync gambar.

Untuk proses peralihan ini, Xiaomi akan melakukannya secara berperingkat, dimana untuk fasa pertama, mereka akan membuat pemindahan sistem e-dagang mereka terlebih dahulu, dan pada fasa kedua mereka akan memindahkan perkhidmatan MIUI.

Pihak Xiaomi mengatakan mereka menyasarkan untuk menyelesaikan pemindahan ini menjelang penghujung 2014 ini, dan pada tahun 2015 ingin memfokuskan dalam penawaran perkhidmatan yang lebih pantas dan laju.

Pemindahan ini juga dilihat ingin menarik minat pengguna yang masih was-was dengan perkhidmatan yang berasaskan pelayan di China, selain memudahkan pihak Xiaomi untuk meneruskan penawaran peranti mereka dibeberapa negara baru.


Komen ()