Komputer Apple I Dilelong Pada Harga RM 2.95 Juta

Komputer Apple I Dilelong Pada Harga RM 2.95 Juta

Diterbitkan pada Okt 23, 2014 oleh .

Harus diakui kesemua produk Apple mempunyai nilai jualan semula yang lebih tinggi berbanding produk keluaran syarikat lain. Telefon iPhone 5S yang kini mula dijual secara pukal oleh pemilik yang mahukan iPhone 6 kami lihat masih dijual pada harga melebihi RM1800 sebuah. Tidak mengejutkan juga ramai pemilik Apple menyimpan kotak peranti mereka bagi memudahkan penjualan semula di masa hadapan. Tetapi hari ini rekod barangan Apple termahal pernah dijual dipegang oleh sebuah Apple I dari tahun 1976. Komputer desktop ini ialah antara 50 Apple I yang dipasang sendiri oleh mendiang Steve Jobs dan Steve Wozniak. Ianya juga sebilangan kecil Apple I yang masih berfungsi sehingga sekarang. Dalam lelongan Sothebys yang dijalankan semalam, ia berjaya dilelong pada harga 950 000 Dollar iaitu bersamaan dengan RM 2.95 Juta. Harga lelongan ini memintas harga lelongan sebuah Apple I yang mencecah 375 500 Dollar (RM 1.22 Juta) pada tahun 2012.

theapplelthe

Harga lelongan yang tinggi ini adalah amat mengejutkan kerana harga jualan asal komputer peribadi pertama Apple ini hanya 666.66 Dollar sebuah bersamaan penambahan nilai harga sebanyak 1425 kali ganda. Bagi mengumpul dana memasarkan komputer peribadi pertama ini, Jobs terpaksa menjual van Volkwagen beliau dan Wozniak menjual kalkulator saintifik HP 65 milik mereka (harga jualan pada tahun 1976 ialah 745 Dollar). Dari segi kemampuan memproses pula Apple I diperkasakan pemproses 1 MHz dan RAM sebesar 4 Kilobyte. Sekiranya anda memiliki produk awal Apple sila simpan dan jadikan pelaburan.


TIPS & ULASAN