Pada ketika awal era internet dulu, pelbagai aplikasi sembang dan permesejan menggunakan identiti samaran, sekaligus membolehkan anda berkenalan dengan orang-orang baru dari seluruh dunia dengan cara yang berbeza dengan sekarang. Kini, Facebook dilihat ingin membawa konsep tersebut kembali, dan memperkenalkan sebuah aplikasi baru, dinamakan Rooms.
Aplikasi ini adalah sama seperti apa yang diura-ura akan sebelum ini, yang mana pengguna tidak perlu log masuk menggunakan identiti dan sebagainya. Sebaliknya, anda boleh memilih nama samaran, dan kemudian menyertai sebarang Room.
Room sendiri dibahagian mengikut topik kegemaran pengguna – yang terdiri daripada filem kegemaran, lagu, gambar, masakan, dan pelbagai perkara yang diminati. Anda sendiri boleh membuka room anda, dan membenarkan yang lain menyertainya.
Pengguna juga boleh memilih nama samaran yang berbeza untuk setiap room, sekaligus menjadikan anda lebih selesa di sesuatu ruangan sembang.
Aplikasi Room ini diperkenalkan secara terhad sahaja buat masa ini, dimana seperti beberapa aplikasi Facebook lain, ia ditawarkan untuk pengguna Amerika Syarikat terlebih dahulu. Pihak Facebook tidak memberikan sebarang masa berkenaan bilakah ia akan diperkenalkan secara meluas ataupun bilakah aplikasi tersebut akan hadir ke Android.
- Layari : Rooms