Carian
New Born Fame : Mainan Media Sosial Untuk Bayi
October 27, 2014 Effi Saharudin

Kalau anda ke laman media sosial anda mungkin menyedari artis ataupun teman anda berkongsi gambar bayi mereka. Setiap ragam dimuat naik dari membuang air besar hinggalah gambar tali pusat. Perkongsian ini dilakukan tanpa restu si anak. Secara peribadi kami tidak mahu berkongsi gambar puteri kami kerana tidak mahu gambar dijadikan bahan modal kaum pedofil. Biarlah hanya saudara mara yang sudi datang melawat rumah tahu rupa anak kami. Persoalan berkongsi atau tidak ini adalah topik hangat di kalangan ibu bapa yang hidup di zaman media sosial. Ia memberikan idea kepada Laura Cornet untuk menghasilkan permainan untuk bayi dengan sistem perkongsian media sosial terbina yang diberi nama New Born Fame.

Permainan ini digantung di atas tempat tidur bayi. Terdapat sebuah kamera digital yang akan mengambil gambar bayi pada waktu tertentu. Apabila si bayi memegang mainan berbentuk logo media sosial seperti Twitter dan Facebook, New Born Fame akan memuat naik gambar ke laman sosial tersebut. Terdapat juga kasut bayi dengan pedometer yang mengesan lokasi bayi setiap masa serta sebuah bola selfie yang mengambil gambar apabila digenggam. Menurut Laura dengan New Born Fame bayi akan “memilih” kemanakah gambar mereka akan dikongsi.

New-Born-Fame-2

Projek seni ini adalah komentar sinis terhadap ibu bapa yang berkongsi gambar anak mereka ke laman media sosial. Projek ini membuatkan kami mahu bertanyakan soalan mudah. Pada usia berapakah anak anda harus dibenarkan mempunyai akaun media sosial peribadi? Sebelum ini ada kami paparkan aplikasi seakan Instagram khas untuk kanak-kanak yang diberi nama Kuddle. Ia dicipta bagi mengurangkan masalah buli saiber. Jadi kepada pembaca yang akan mempunyai anak ataupun sudahpun mempunyai anak. Apakah jawapan anda terhadap soalan kami tadi?

New-Born-Fame-1

Sumber New Born Fame

Komen