Carian
Microsoft Mulakan Pembangunan Untuk Panggilan Skype Melalui Pelayar Web
October 28, 2014 Aman

Skype pada awal tahun ini telah memperkenalkan sokongan untuk menggunakan perkhidmatan tersebut pada Outlook.com. Namun, ia memerlukan pemalam khusus dipasang, dan boleh dikatakan tidak begitu mesra pengguna. Kini, dengan teknologi pelayar web yang menyokong WebRTC, Microsoft dilihat ingin bergerak setapak kehadapan dengan memperkenalkan sokongan panggilan menggunakan teknologi tersebut.

Hari ini, Microsoft melalui Skype mengumumkan yang mana mereka telah memulakan pembangunan untuk membawa sokongan panggilan tersebut terus ke web, dan sedang bekerjasama dengan beberapa pihak dalam menjayakannya.

Skype Outlook

Microsoft turut mengatakan mereka akan mengintegrasikan teknologi yang diperlukan pada pelayar web mereka – Internet Explorer, dan turut hadir dengan beberapa fungsi mesra pengguna seperti kebolehan mengubah kualiti berdasarkan sambungan jalur-lebar, dan sebagainya.

Selari dengan pengumuman ini, pada minggu lepas, pihak Firefox turut telah berkongsi pembangunan mereka untuk panggilan melalui web dengan fungsi yang dinamakan Firefox Call.

Tetapi berbanding dengan Firefox Call, semestinya pengenalan Skype pada pelayar web akan membolehkan perkhidmatan tersebut lebih luas digunakan memandangkan Skype sedia mempunyai angka pengguna yang tinggi, dan juga sokongan kewangan daripada Microsoft.

Komen