Cari @ Amanz

Block My PhoneMungkin ramai sedia ketahui yang mana kebanyakkan telefon yang dicuri atau hilang, biasanya akan dijual kembali kepada pengguna lain. Untuk mencari kembali peranti yang hilang, terdapat beberapa cara seperti menggunakan Find My Phone, Device Manager dan sebagainya, tetapi sekiranya semua gagal, cara terakhir adalah dengan mematikan telefon tersebut menggunakan IMEI.

IMEI merupakan sebuah nombor khusus untuk setiap telefon, yang mana biasanya dipaparkan dibahagian bateri atau kotak peranti berkenaan. Anda juga turut boleh menyemak IMEI peranti daripada telefon anda terus, iaitu:

  • Untuk iOS, anda perlu ke bahagian Settings > General > About
  • Untuk Android, anda perlu ke bahagian Settings > About Phone
  • Untuk BlackBerry anda perlu ke bahagian Options > Status
  • Untuk Windows Phone, anda perlu ke bahagian Settings > About > More Information

Memandangkan ia unik kepada setiap peranti, pengguna boleh menyimpan infonya, dan sekiranya peranti anda hilang atau dicuri, anda boleh menggunakan angka tersebut dan mengemaskini status peranti anda pada laman tersebut.

Block My Phone

Sebaik sahaja ia dilaporkan, perkara tersebut akan dihantar kepada semua syarikat rangkaian telekomunikasi tempatan, dan peranti tersebut akan dihalang penggunaannya di Malaysia.

PCBS menggunakan nombor Mobile Equipment Identity (IMEI) untuk menyekat/mengaktifkan semula telefon bimbit yang hilang atau dicuri. Untuk menyekat atau mengaktifkan semula satu-satu telefon bimbit, pengguna yang telah berdaftar perlu memaklumkan rangkaian mudah alih mereka. Setelah dimaklumkan, pihak rangkaian mudah alih akan memeriksa rekod mereka untuk nombor IMEI telefon bimbit tersebut. Nombor IMEI itu akan diserahkan kepada sistem PCBS dengan permintaan sama ada untuk menyekat atau mengaktifkan semula telefon bimbit tersebut. PCBS akan menyebarkan maklumat untuk sama ada menyekat atau mengaktifkan semula telefon bimbit itu kepada semua rangkaian mudah alih di seluruh Negara. Sejurus menerima maklumat ini, pihak rangkaian mudah alih tersebut akan menyekat/mengaktifkan semula telefon bimbit tersebut.

Perkhidmatan PCBS berasaskan web membolehkan pengguna mendaftar dan menyenaraikan sehingga 10 peranti dibawah mereka. Untuk penggunaan fungsi ini, pihak SKMM bersama-sama beberapa rakan kerjasama lain, termasuk PDRM menyediakan sebuah fungsi dinamakan Block My Phone.

Pihak SKMM menyasarkan untuk menurunkan kadar jenayah jalanan di Malaysia, selain mengelakkan orang awam daripada menjadi mangsa jenayah seperti ragut melalui fungsi ini. Ia juga sekaligus akan menurunkan nilai harga telefon yang hilang atau dicuri, disamping memudahkan pengguna untuk menyekat telefon mereka.

Bagi anda yang berminat, boleh menyemak perkhidmatan PCBS ini hari ini, dimana ia ditawarkan secara percuma untuk semua pengguna tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd