Carian
Talkase – Telefon Kedua Bersaiz Mini Yang Diintegrasikan Pada Kerangka Luar Telefon Pintar
October 28, 2014 Aman

Pada hari ini, boleh dikatakan ramai yang menggunakan telefon kedua untuk tujuan kecemasan sekiranya bateri peranti mereka habis awal, ataupun telefon kedua sebagai peranti berasingan dengan peranti untuk kerja. Kadang-kala ia akan menyukarkan pengguna, disebabkan mereka terpaksa membawa dua peranti ke mana-mana mereka ingin pergi.

Untuk memudahkan perkara ini, salah satu projek yang hadir di KickStarter baru-baru ini adalah Talkase.

Talkase

Talkase merupakan telefon bersaiz mini dengan sokongan GSM, yang mana hadir dalam bentuk kerangka yang boleh dipasang pada telefon sedia ada anda. Secara kasarnya, ia bersaiz sebesar kad kredit, dan dengan mengintegrasikan ia kepada kerangka luar, Talkase menjadikan anda hanya perlu memfokuskan kepada satu peranti sahaja apabila kemana-mana.

Talkase yang ditawarkan untuk iPhone terlebih dahulu ini boleh digunakan sebagai sebuah peranti berasingan dengan menggunakan SIM khusus untuknya, ataupun turut dihubungkan menggunakan Bluetooth ke iPhone, dan menggunakannya untuk menjawab panggilan.

Talkase

Memandangkan telefon mini Talkase hanya menawarkan penggunaan GSM sahaja, iaitu menerima panggilan dan SMS, maka masa bertahan baterinya agak lama. Menurut Talkase, ia mempunyai masa bertahan sehingga 100 jam, menjadikan ia sesuai sebagai telefon kedua anda.

Selain telefon kedua, pihak Talkase turut memberikan beberapa senario penggunaan berbeza, mengatakan ia turut sesuai untuk pengguna kanak-kanak yang inginkan telefon, untuk mereka yang ingin membuat aktiviti lasak – memandangkan saiznya kecil dan boleh disimpan tanpa masalah, serta untuk mereka yang sering mengembara atau ke luar kerana urusan kerja.

Talkase

Buat masa ini, pihak Talkase sedang mengumpulkan dana melalui IndieGogo, dimana mereka menawarkan Talkase ini pada harga $35 (~RM114), yang mana turut hadir dengan kerangka luar untuk iPhone 5S, iPhone 6 atau iPhone 6S.

Komen