Google Ingin Membangunkan Nanozarah Yang Boleh Mengenal Pasti Kanser Dan Penyakit Lain Lebih Awal

Google Ingin Membangunkan Nanozarah Yang Boleh Mengenal Pasti Kanser Dan Penyakit Lain Lebih Awal

Diterbitkan pada Okt 29, 2014 oleh .

Google XGoogle X sering hadir dengan beberapa projek dan pembangunan yang dianggap agak mustahil untuk dijayakan. Kini, selepas menguruskan pelbagai data di web, pihak Google turut ingin menguruskan data kesihatan para pengguna. Dibawah projek Google X, salah satu pasukan dilaporkan sedang membangunkan penggunaan nanozarah yang boleh mengenal-pasti penyakit seseorang lebih awal.

Projek baru ini dilihat mempunyai lebih daripada 100 orang bekerja disebaliknya, yang mana dengan mengenal-pasti sesuatu penyakit lebih awal, maka ia akan mengurangkan risiko seseorang menghidapi penyakit terbabit.

Google ingin mengubah dunia perubatan daripada reaktif kepada proaktif.Ia dikatakan nanozarah ini akan mencari pelbagai faktor yang membawa kepada penyakit, dan kemudiannya menghantar isyarat kepada peranti boleh-pakai pengguna seperti gelang-tangan atau jam tangan pintar.

Bercakap mengenai projek ini, pihak Google mengatakan yang mana kebanyakkan masalah kesihatan, terutamanya kanser dikenal-pasti pada fasa akhir. Kematian dan sebagainya disebabkan perkara ini mungkin boleh dikurangkan sekiranya ia dikenal-pasti pada peringkat awal lagi. Memandangkan ramai yang tidak ke hospital untuk menyemak keadaan badan setiap masa, penggunaan nanozarah ini dilihat agak praktikal, memandangkan ia akan memantau perubahan pada badan setiap masa, dan memberikan isyarat kepada pengguna.

Untuk penggunaannya, nanozarah ini dikatakan akan hadir dalam sebuah kapsul yang menyerap ke badan dan darah. Saiz nanozarah ini dikatakan sekitar dua ribu kali lebih kecil berbanding cel darah merah. Memandangkan saiznya kecil, ia boleh menyerap keseluruh badan, dan memantau keadaan semasa, sekaligus memberikan isyarat sekiranya terdapat sebarang perubahan pada sel atau badan.

Pembangunannya dijangka akan terus mengambil masa beberapa tahun lagi, sebelum ia boleh ditawarkan kepada pengguna. Beberapa kajian perlu terus dilakukan termasuk mengenal-pasti sesuatu sel yang menyebabkan kanser tersebut dengan lebih baik lagi.

Projek ini boleh dikatakan sebahagian daripada projek Google X yang memfokuskan kepada kesihatan pengguna, yang mana Google ingin membolehkan penyakit dikenal-pasti awal dan mengelak daripada ia berlaku. Sebelum ini, pihak Google turut pernah mengumumkan sebuah projek lain memfokuskan diabetes, iaitu dengan menggunakan sebuah kanta lekap khusus.


TIPS & ULASAN