Shuddle : Uber Untuk Kanak-Kanak Sekolah

Shuddle : Uber Untuk Kanak-Kanak Sekolah

Diterbitkan pada Okt 29, 2014 oleh .

Ibu bapa moden risau tentang keselamatan anak-anak mereka. Di Malaysia masalah penculikan dan bunuh kanak-kanak sekolah adalah antara yang ditakuti ibu bapa. Pada tahun 2012 negara digemparkan dengan penculikan Nayati Shamelin Moodliar yang diculik ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah beliau. Penculikan kanak-kanak berbangsa Belanda ini menjadi semakin sensasi selepas bapa beliau menuduh pihak berkuasa Malaysia bertindak acuh tak acuh dalam mencari anak beliau. Tidak mengejutkan oleh sebab perasaan takut ini semakin ramai ibu bapa terutamanya yang tinggal di bandar menghantar anak mereka ke sekolah dengan menaiki kereta. Perkhidmatan bas tidak dipercayai kerana dirasakan tidak cukup selamat. Apakah yang terjadi sekiranya ibu bapa tidak mampu menghantar anak ke sekolah pada hari-hari tertentu akibat keperluan kerja?

Shuddle

Shuddle ialah jawapan kepada masalah ini di San Francisco. Ia adalah perkhidmatan yang memandu anak-anak di bawah umur 18 tahun ke sekolah, latihan sukan dan pusat membeli belah. Perkhidmatan membawa penumpang bawah umur untuk Uber dan Lyft  adalah tidak dibenarkan di Amerika Syarikat.  Setiap pemandu Shuddle perlu melepasi beberapa kriteria keselamatan dan mempunyai latar belakang menjaga anak-anak sebelum dibenarkan memandu. Pengguna Shuddle dikenakan yuran bulanan dan kereta yang ingin digunakan perlu ditempah sekurang-kurangnya sehari lebih awal. Nama pemandu, nombor pendaftaran kereta dan kata laluan keselamatan khas akan diberikan kepada ibu bapa yang menempah perkhidmatan ini. Selepas si anak naik ke dalam kereta ibu bapa boleh mengekori pergerakan kereta melalui aplikasi. Shuddle mendakwa perkhidmatan mereka adalah lebih selamat untuk kanak-kanak berbanding Uber ataupun Lyftt .

Idea yang menarik bagi mengisi keperluan ibu bapa yang tidak mempunyai masa untuk menghantar anak-anak kesayangan mereka ke destinasi tertentu. Di Malaysia kami tidak pasti ibu bapa sanggup berbelanja lebih untuk perkhidmatan seperti ini. Semasa kami remaja dahulu ibu bapa kami tidak menghalang kami untuk kemana-mana. Kalau tidak ada kenderaan naik sahaja bas. Tetapi harus diakui zaman dahulu tidak sama dengan zaman sekarang.

 


TIPS & ULASAN