Microsoft Memasuki Arena Kesihatan Dengan Microsoft Band Dan Perkhidmatan Microsoft Health

Microsoft Memasuki Arena Kesihatan Dengan Microsoft Band Dan Perkhidmatan Microsoft Health

Diterbitkan pada Okt 30, 2014 oleh .

Pada hari ini, pelbagai syarikat memfokuskan kepada data berkaitan kesihatan dan kecergasan, dan semestinya syarikat perkomputeran terkemuka, Microsoft turut tidak ingin ketinggalan. Tetapi berbeza dengan Google dan Apple yang memfokuskan kepada hanya satu platform, pihak Microsoft menawarkan perkhidmatan mereka kepada pelbagai platform.

Microsoft dibawah Satya Nadella sedia menawarkan perkhidmatan untuk pelbagai platform, dan melalui Microsoft Health, mereka ingin membolehkan pengguna tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengakses data kesihatan dan kecergasan pada pelbagai platform – yang mana turut meliputi langkah perjalanan, kalori, berat dan sebagainya.

Microsoft Band

Microsoft Health akan ditawarkan untuk peranti Android, iOS dan Windows Phone dalam bentuk aplikasi khusus, selain mana turut berfungsi dengan jam tangan pintar Android Wear, telefon Android, dan juga iPhone 6. Gergasi perkomputeran ini juga turut dilihat bekerjasama dengan beberapa pembangun lain termasuk seperti Jawbone, Runkeeper dan sebagainya dalam mengintegrasikan penggunaan data.

Dan sekiranya anda tidak mempunyai peranti boleh-pakai sendiri, pihak Microsoft turut menawarkan peranti mereka dinamakan sebagai Microsoft Band. Melaluinya ia dikatakan menyertakan sensor yang terbaik untuk memantau gerakan, disamping pihak Microsoft turut berkongsi perlesenan kepada pengeluar lain sekiranya mereka ingin membangunkan peranti boleh-pakai dengan teknologi Microsoft.

Microsoft Band ini membawakan rekaan seperti beberapa gelang tangan boleh-pakai dipasaran, dimana ia memperlihatkan jam pada skrin utama, dan beberapa data lain pada skrin lain. Disamping itu, pihak Microsoft turut menyertakan integrasi Cortana apabila ia dihubungkan ke telefon Windows Phone.

Microsoft Band

Band juga turut boleh memaparkan informasi lain seperti ringkasan emel, notifikasi kalendar dan sebagainya ketika anda menggunakan ia. Ia turut boleh digunakan sebagai Timer atau penggera untuk anda memantau kelajuan larian anda dan tugasan lain. Notifikasi lain seperti SMS, panggilan dan daripada aplikasi turut dipaparkan untuk membolehkan anda melihatnya tanpa perlu mengeluarkan telefon – amat berguna sekiranya anda sedang melakukan senaman. Integrasi sensor lain yang disertakan termasuklah sokongan GPS dan juga sensor denyutan jantung.

Walaupun terdapat pelbagai penyedia lain yang menawarkan sokongan sama, apa yang menjadi fokus adalah pengenalan Microsoft Health dan Band yang menyokong pelbagai platform, sekaligus memudahkan anda membawa data kemana-mana dan tidak terikat kepada hanya satu platform sahaja.

Microsoft Band dijual pada harga $199 (~RM655) dan hadir dengan tiga pilihan saiz pergelangan tangan. Info mengenai pelancaran untuk pasaran tempatan masih tidak diketahui lagi.

Layari : Microsoft Band


TIPS & ULASAN