Cari @ Amanz

Yes 4G merupakan salah satu syarikat telekomunikasi tempatan yang mana sehingga kini memfokuskan lebih utama terhadap penggunaan data dan internet. Mereka turut mempunyai aplikasi khusus dinamakan YesLife yang membolehkan pengguna menghantar dan menerima SMS, selain membuat panggilan telefoni kepada nombor telefon pengguna ataupun pengguna Yes yang lain.

Sehingga kini, mereka hanya sekadar memfokuskan kepada penawaran perkhidmatan mereka – disamping turut menawarkan beberapa peranti yang khusus untuk perkhidmatan mereka. Antaranya turut meliputi sebuah telefon pintar khusus yang dibangunkan oleh Yes dengan rakan kerjasama, dan juga Chromebook yang dibangunkan bersama-sama pihak Samsung.

Baru-baru ini, pada minggu lepas, mereka telah mula menambah penawaran peranti baru dibawah pakej telekomunikasi mereka, dimana mereka telah menjual Galaxy Note 4 dengan pakej khusus yang mana hadir dengan sebuah Yes Huddle, dan dilengkapi dengan pelan panggilan dan SMS.

Dan terkini, semalam kami turut telah menemui CEO YTL Communications di acara pelancaran Oppo N3, sekaligus memberikan petanda seperti mereka berminat untuk membawa masuk peranti berkenaan ke pasaran tempatan dibawah pakej penawaran mereka. Apa pun, ia juga tidak mustahil untuk pihak Yes hanya sekadar membuat lawatan dan menambah kenalan mereka ketika itu.

Yes 4G WIng

Untuk penawaran pakej daripada Yes, ia agak berbeza sedikit dengan penawaran syarikat lain, memandangkan pengguna akan diperlukan untuk menghubungkan peranti kepada Yes Huddle. Walaupun perkara ini mungkin menawarkan masa bertahan bateri yang lama, tetapi ia juga boleh dikatakan agak menyukarkan pengguna memandangkan perlu membawa dua peranti pada sesuatu masa. Mungkin ia tidak menjadi masalah ketika anda mempunyai beg tangan atau beg sandang, tetapi ia mungkin menjadi sedikit kekangan ketika membuat aktiviti luar.

Pihak Yes tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan apakah perancangan mereka dan hanya sekadar mengatakan mereka mempunyai sesuatu yang menarik untuk dikongsikan pada awal tahun hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd