Carian
Pandang Pertama : Oppo N3 Dengan Kamera Berputar 16MP, Sokongan RAW, Super Macro
October 30, 2014 Nisa

Oppo N3
Pemproses Snapdragon 801 2.3Ghz
RAM 2GB
Kamera Utama 16-megapixel Berputar
Skrin 5.5″ TFT
Bateri 3000mAh VOOC
Lain-Lain 4G LTE, Dwi-SIM, Rakaman RAW

Oppo merupakan salah satu syarikat peranti mudah-alih dari China yang mana telah memperkenalkan satu demi peranti baru yang menarik, termasuk salah satunya adalah peranti memfokuskan kepada keupayaan kamera, iaitu Oppo N1. Oppo N1 telah diperkenalkan pada tahun lepas, menjadikan ia sebagai salah satu peranti Android pertama dengan kebolehan kamera berputar, membolehkan mereka menggunakan kamera 13-megapixel untuk rakaman utama dan juga rakaman selfie.

Membawa ia setapak kehadapan, terkini Oppo telah memperkenalkan Oppo N3, yang mana merupakan kemaskini kepada keluarga N1 sebelum ini, dan mereka terus menambah-baik fungsi kamera pada peranti mudah-alih berkenaan. Oppo N3 menjadi peranti mudah-alih pertama yang dilengkapi dengan sokongan kamera berputar automatik, membolehkan pengguna mengubah posisi kamera sama ada ke belakang atau hadapan dengan pilihan pada aplikasi kamera terbina. Selain daripada putaran automatik, pihak Oppo turut membolehkan ia dipusingkan secara manual seperti pada Oppo N1. Bercakap mengenai kamera berputar automatik ini, semestinya ramai yang ingin mengetahui bagaimanakah ketahanan peranti berkenaan. Menurut pihak Oppo, secara kasar pengguna boleh memusingkan ia sebanyak 100 kali sehari selama 3 tahun.

“Skrin Lebih Kecil Berbanding Oppo N1 – Lebih Selesa Ditangan”

Oppo N3Oppo N3 hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci, yang mana kami lihat lebih selesa ditangan jikalau dibandingkan dengan skrin N1 sebelum ini yang bersaiz 5.9-inci. Tiada perubahan pada resolusi berbanding generasi sebelum ini, tetapi memandangkan saiznya sedikit kecil, maka ia lebih tumpat dan menghasilkan paparan lebih menarik berbanding sebelumnya.

Untuk pemprosesan, Oppo N3 menggunakan cip Snapdragon 801 (MSM8974AA) daripada Qualcomm yang berkelajuan 2.3Ghz, dan memori sebanyak 2GB RAM. Untuk ruangan storan, memandangkan peranti ini memfokuskan kepada sokongan rakaman kamera, maka ia hadir dengan storan 32GB dan juga kebolehan sokongan mikro-SD sehingga 128GB.

Oppo N3Bercakap mengenai ruangan storan mikro-SD, pihak Oppo mengintegrasikan ia pada ruangan SIM kedua. Oppo N3 merupakan telefon pintar dengan dwi-SIM, dimana menggunakan SIM bersaiz nano dan juga mikro. Ruangan mikro-SD diintegrasikan pada bahagian kad SIM mikro. Sekiranya pengguna menggunakan dwi-SIM, maka anda tidak boleh menggunakan ruangan kad-SD, dan begitu juga sebaliknya.

Untuk kamera, ia menggunakan lensa 16-megapixel dengan sensor CMOS F2.2. Pelbagai mod rakaman menarik hadir pada peranti ini, membolehkan pengguna menggunakan ia sebagai ganti kepada kamera digital. Bagi bahagian bateri, pihak Oppo membawakan bateri berkapasiti 3000mAh, dan dilengkapi dengan fungsi VOOC. Fungsi VOOC ini membolehkan peranti anda dicas dengan pantas, dimana ia boleh mencapai kapasiti sehingga 75% dalam masa kurang 30 minit.

Oppo N3 ini dijana menggunakan Color OS 2.0 yang berasaskan kepada Android 4.4 KitKat, dan turut hadir dengan beberapa ciri-ciri popular daripada Oppo seperti sokongan gesture, kebolehan dwi-tap untuk mengakses peranti dan beberapa yang lain.

“O-Touch Dengan Sokongan Pengimbas Cap Jari”

Oppo N1 pada tahun lepas telah menyertakan sokongan untuk O-Touch, dimana pengguna boleh tap pada belakang peranti, membolehkan pengguna untuk merakamkan gambar selfie dengan mudah, Pada tahun ini, fungsi tersebut diperluaskan, dan bahagian O-Touch pada belakang peranti turut dilengkapkan dengan pengimbas cap jari.

Oppo N3Melalui fungsi pengimbas cap jari ini, pengguna boleh menambah sekuriti pada peranti mereka seperti mengunci peranti dan memerlukan anda mengimbas jari untuk mengaksesnya. Disamping itu, ia masih boleh kekal digunakan sebagai fungsi lama iaitu untuk merakamkan gambar selfie dengan tap pada bahagian belakangnya.

Selain daripada bahagian belakang, pihak Oppo turut menyertakan beberapa perkara baru, termasuk ruangan pada bahagian bawah dinamakan sebagai Hollow Underside Design. Jika anda masih ingat, pada Find 7 mereka menawarkan paparan notifikasi dengan lampu khas pada bahagian bawah peranti, dan ia kini disertakan pada Oppo N3 melalui Oppo Skyline Notification Light 2.0 diruangan Hollow Underside Design ini.. Oppo mengatakan lampu notifikasi ini boleh dilihat daripada pelbagai sudut sekiranya anda menerima emel, atau mesej. Disamping itu, ruangan bawah ini juga membawakan fungsi tambahan, membolehkan ia menahan hentakan sekiranya ia terjatuh kebawah, sekaligus mengurangkan kerosakkan yang dialami pengguna.

Rekaan keseluruhan boleh dikatakan membawakan elemen daripada Oppo N1 sebelum ini. Tetapi salah satu perkara yang tidak disukai oleh kami adalah kedudukan audio-jack pada bahagian tepi kanan peranti. Walaupun kami jarang menggunakan earphone, tetapi bagi mereka yang menggunakannya, ia akan menjadikan anda sukar untuk memasukkan peranti ke dalam seluar ketika menggunakannya.

“Kamera Dengan Sokongan Rakaman RAW”

Oppo N3Keluarga “N” daripada Oppo telah sedia memfokuskan kepada keupayaan kamera. Pada Oppo N3 pihak Oppo terus menambah-baiknya dalam menawarkan sokongan rakaman yang baik dan lebih jelas. Oppo mengatakan mereka bekerjasama dengan pihak Schneider Optics dalam membangunkan lensa 16-megapixel pada peranti ini. Ia hadir dengan sokongan berputar mekanikal yang boleh berputar sehingga 206-darjah secara automatik apabila pengguna membuat pilihan kamera belakang atau hadapan. Namun, ia hanya terhad untuk aplikasi yang hadir terbina sahaja.

Untuk menawarkan fungsi lebih pada bahagian peranti ini, pihak Oppo menyertakan beberapa mod khusus untuk rakaman. Perkara ini dijayakan melalui Oppo Pure Image Processing 2.0+. Terdapat beberapa mod khusus yang hadir, dan yang menggunakan penggunaan berputar automatik adalah rakaman Auto-Panorama. Menggunakan mod ini, pengguna boleh merakamkan gambar panorama menegak atau melintang secara automatik dan hasilnya lebih baik berbanding rakaman yang kita lakukan secara manual. Pengguna hanya perlu memegang peranti secara statik, dan kamera tersebut akan berputar secara automatik dalam merakamkan gambar.

Oppo turut menyertakan kebolehan rakaman dalam bentuk RAW, membolehkan para jurugambar merakamkan gambar para peranti mudah-alih ini dalam bentuk RAW, dan menyuntingnya pada editor gambar pilihan mereka. Super Macro pula membolehkan pengguna merakamkan gambar dengan detail yang tinggi terutamanya pada objek bersaiz kecil.

Beberapa fungsi lain yang turut disertakan adalah termasuk After Focus untuk membolehkan pengguna mengambil gambar dahulu dan fokuskan kemudian, dan juga Ultra-HD yang membolehkan rakaman gambar bersaiz sehingga 64-megapixel dilakukan menggunakannya.

“Color OS Dengan Pelbagai Penambah-Baikkan Pada Android”

Color OS 2.0 merupakan sistem operasi yang diubah-suai daripada Android 4.4 KitKat. Selain daripada perubahan dari segi rekabentuk antaramuka, pihak Oppo turut menyertakan beberapa fungsi khusus tambahan. Selain daripada kamera, pihak Oppo melengkapkan ia dengan sokongan gesture. Pengguna boleh membuat lakaran pada skrin ketika untuk akses pantas. Sebagai contoh, anda boleh membuat lakaran huruf “O” dan ia akan membuka aplikasi kamera secara automatik walaupun daripada skrin kunci.

Color OS 2.0
Color OS 2.0
Color OS 2.0

Oppo juga turut menyertakan beberapa fungsi tambahan, termasuk dari segi penjimatan kuasa dan juga untuk sekuriti. Pengguna boleh memantau aplikasi mana yang menggunakan data pada peranti dan sebagainya, dan mengawal ia sekiranya tidak menyukai beberapa akses yang diminta oleh sesuatu aplikasi.

Bertanyakan mengenai sokongan CyanogenMod untuk Oppo N3, pihak Oppo tidak mengeluarkan sebarang komen, dan mengatakan mereka sentiasa terbuka untuk berbincang dan mungkin berkongsi lebih lanjut mengenainya apabila ia tersedia.

“Ke Malaysia Pada Penghujung November Atau Awal Disember”

Oppo N3 ini bakal dipasarkan untuk pasaran tempatan dalam warna putih bermula penghujung tahun ini, sebelum cuti Hari Natal. Harga jualannya tidak dikongsikan lagi buat masa ini, tetapi ia dikatakan dalam anggaran sekitar RM1998 ke RM2098.

[amanz-gallery]

Komen