Dron Ambulans Memberikan Bantuan Kecemasan Awal

Dron Ambulans Memberikan Bantuan Kecemasan Awal

Diterbitkan pada November 1, 2014 oleh .

Masalah utama pemandu ambulans ialah kesukaran memandu di atas jalan raya dan mencari alamat destinasi kecemasan. Di dalam masalah pertama tabiat pemandu jalan raya yang masih tidak tahu adab memberi jalan kepada kenderaan kecemasan menyebabkan ambulans lewat. Masalah kedua pula ialah pemandu yang kurang arif dengan destinasi yang ingin dituju. Penggunaan alat GPS dapat mengurangkan masalah ini tetapi jika masalah pertama tidak dapat diselesaikan kebarangkalian mangsa kecemasan akan terselamat akan menjadi semakin kecil. Oleh itu penggunaan teknologi terkini diperlukan bagi menyelesaikan masalah membabitkan nyawa individu.

Dron-Ambulans-2

Di Belanda jawapan kepada masalah ini ialah dengan menggunakan dron helikopter tanpa pemandu. Dron ambulans ini adalah buah fikiran Alec Momont seorang pelajar TU Delft University. Beliau mendapat idea mencipta dron ambulans ini apabila mendapat tahu setiap tahun 80 000 individu di Kesatuan Eropah mengalami serangan jantung. Dari jumlah ini hanya 8 peratus terselamat dari maut. Apabila serangan berlaku bantuan harus diberikan dalam masa 6 minit bagi mengelakkan kecederaan berlaku pada otak. Malangnya purata masa diambil untuk ambulans tiba dan memberikan bantuan ialah 10 minit. Dron ambulans ciptaan beliau mampu terbang pada kelajuan 100 kilometer sejam dan mampu tiba ke destinasi kecemasan dengan pantas. Sebuah dron boleh berfungsi di dalam kawasan seluas 12 Kilometer persegi. Lokasi kecemasan boleh dikesan oleh dron berdasarkan isyarat telefon pemanggil talian kecemasan. Setibanya di lokasi ia akan mendarat dan menurunkan kargo berupa mesin renjatan defibrillator. Pada waktu yang sama sistem kamera dan suara yang terbina akan memberikan tunjuk ajar kepada orang sekeliling untuk menggunakan mesin tersebut dengan betul bagi menyelamatkan mangsa. Harga sebuah dron ambulans adalah bernilai RM 62 000 sebuah. Harga yang mahal untuk sebuah sistem kecemasan tetapi manakah lebih mahal? Harga sebuah mesin ataupun nyawa seorang individu?

Ini mengingatkan kami kepada projek PARS, dron pengawal pantai yang dibangunkan di Iran. Ia turut direka bagi memberikan bantuan pelampung kepada mangsa lemas lebih pantas dari seorang penjaga pantai.

Dron-Ambulans-1

TIPS & ULASAN