Di Amanz kami sebulat suara bersetuju bahawa tablet terbaik di pasaran adalah Apple iPad. Walaupun berpuluh tablet Android dikeluarkan dengan tujuan menjadi “iPad killer”, tidak ada satupun setakat ini mampu menyaingi tablet yang dikeluarkan Cupertino. Mengapa ianya terbaik? Gabungan rekaan yang baik, sistem operasi yang stabil, pilihan aplikasi yang meriah dan mesra pengguna. Sungguhpun begitu iPad masih mempunyai satu kelemahan yang sudah berlarutan selama bertahun lamanya. Sistem audio tablet ini tidak kira versi mana yang anda beli masih diletakkan pada bahagian bawah peranti. Audio stereo dilontarkan secara sisi dan bukannya terus ke telinga pengguna. Dengan Boomsound ,HTC menunjukkan kepada dunia bahawa pembesar suara stereo boleh diletakkan di hadapan dan ianya menghasilkan kesan bunyi yang merangsangkan. Selagi Apple tidak meletakkan pembesar suara di hadapan pengguna Apple haruslah mencari alternatif lain.
AMP ialah sistem audio Bluetooth yang dicipta khas bagi memberikan pengalaman audio yang setanding dengan binaan premium iPad. Ianya dicipta khas untuk iPad Air dan Air 2. Terdapat dua pembesar suara besar pada sisi pemegang iPad ini bagi memberikan audio stereo lontaran hadapan. Pembesar suara berkembar ini juga boleh dilaraskan mengikut citarasa pengguna. AMP juga dilengkapi dengan bateri 2000 mAh dan membuatkannya mudah alih. Menurut pereka AMP ia mampu digunakan selama 7 jam sebelum perlu dicas semula. Sebuah sistem audio yang menarik. Tetapi jika anda tidak mahu berbelanja lebih untuk sistem stereo lontaran hadapan, mungkin anda boleh memesan HTC Nexus 9 dengan teknologi Boomsound.