Cari @ Amanz

Pada bulan Ogos yang lepas Jabra Malaysia telahpun mengumumkan Jabra Rox Wireless yang berwarna putih dimana sebelum ini ia diperkenalkan dan hanya membawakan warna hitam. Peranti ini tergolong dalam peranti kelas tinggi dan premium, yang turut membawakan pelbagai fungsi bersama-sama aplikasi khusus Jabra Sound. Kami berkesempatan untuk mencubanya selama dua minggu.

[amanz-gallery]

Rekabentuk

Jabra Rox Wireless hadir dalam kotak bungkusan yang cantik, memperlihatkan rekaan yang sama dengan Jabra Revo Wireless yang pernah kami ulas sebelum ini. Ia turut hadir dengan 4 variasi saiz earbud dan bagi menyesuaikan kegunaan fon audio ini dengan aktiviti lasak, ia turut disertakan dengan earwings yang turut hadir dalam 3 variasi saiz. Earwings ini berfungsi sebagai pencangkuk didalam aluran cuping telinga pengguna bagi memastikan ianya tidak mudah tertanggal. Menariknya badan peranti ini diperbuat dari aluminium dan kabelnya pula diperkuat dengan Kevlar serta kalis air dan debu.

Jabra Rox Wireless -IMG_8037

Ia mempunyai kemasan aluminium dan pada pad kawalannya juga terdapat tiga butang bagi mengawal panggilan, mengawal tahap bunyi serta mengawal muzik. Pada pad ini juga terdapat kebolehan NFC bagi menyesuaikan peranti ini dengan telefon pintar anda dengan mudah. Untuk tujuan pengecasan, penutup aluminium pada sebelah kiri boleh dibuka dan terdapat lubang USB Mikro padanya. Kedua-dua belah fon audio ini boleh dilekatkan secara magnetik dan mengaktifkan mod sedia sekaligus menjimatkan bateri peranti ini.

Prestasi

Sepanjang menggunakannya diantara mendengar muzik dan menjawab panggilan, ia mempunyai waktu bertahan sekitar 4 jam, dan menurut mereka peranti ini mampu bertahan sehingga 5.5 jam. Tempoh pengecasannya juga pantas, iaitu sekitar 2 jam. Bercakap mengenai kualiti audionya, ia mempunyai kualiti ‘Bass’ dan ‘Treble’ yang baik. Oleh kerana ia berjenis in-ear, bunyi dari luar juga dapat dihalang.

Jabra Rox Wireless -IMG_8079

Rekaan Earwings juga dirasakan selesa meskipun untuk penggunaan yang agak lama. Bagi saya, hanya mampu bertahan memakainya selepas 1 jam dan perlu menanggalkannya dan menggunakannya semula, kerana saya tidak biasa memakai peranti fon audio berjenis in-ear.  Untuk makluman, saya menggunakan Earwings bersaiz kecil namun untuk telinga saya, ia dirasakan besar dan padat. Sedikit kekhuatiran timbul sekiranya mereka yang mempunyai aluran dalam cuping telinga yang lebih kecil, kerana itu bakal menimbulkan ketidakselesaan. Berkenaan sambungan secara Bluetooth pula, tidak terdapat sebarang masalah mahupun penyesuaian yang terputus. Kualiti audio panggilan juga baik.

Salah satu kelebihan peranti ini ialah terdapatnya aplikasi Jabra Sound. Sekiranya anda tidak pernah membaca ulasan Jabra Revo Wireless sebelum ini, aplikasi Jabra Sound menawarkan kualiti audio Dolby untuk muzik yang dimainkan dan juga video YouTube yang ditonton. Aplikasi tersebut juga telah menyediakan tetapan berbeza untuk peranti-peranti berspesifikasi tinggi dari Jabra seperti Revo Wireless dan Jabra Solemate yang akan diulas selepas ini. Menggunakan aplikasi ini, kualiti audio yang dijana adalah lebih baik, menawarkan bunyi ‘Mid-range‘ yang lebih jelas.

Pada harga RM469, Jabra Rox Wireless ini sememangnya peranti yang premium setanding dengan peranti dari Sennheiser atau malah lebih murah dari Jaybird. Dikirakan dari nilai dan kualiti, boleh dikatakan ianya berbaloi dan mungkin anda perlu berlapar buat sementara waktu untuknya.

Pro

  • Rekaan yang lasak dan kalis air dan debu.
  • Earwings yang selesa serta tidak mudah tanggal.
  • Kualiti audio yang baik.
  • Terdapat aplikasi Jabra Sound untuknya

Kontra

  • Waktu operasi selama 5 jam dirasakan sedikit.
  • Harga yang sedikit tinggi.

Penafian: seperti bau dan rasa, ulasan berdasarkan pendengaran terhadap peranti audio adalah tertakluk kepada personaliti dan kebolehan penulis itu sendiri. Anda dinasihatkan supaya mencubanya terlebih dahulu sebelum melakukan pembelian.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd