Pengguna Singapura Bantu Warga Vietnam Ditipu Ketika Membeli iPhone 6

Pengguna Singapura Bantu Warga Vietnam Ditipu Ketika Membeli iPhone 6

Diterbitkan pada November 6, 2014 oleh .

Semalam tersebar berita menyedihkan seorang warga Vietnam ditipu oleh penjual telefon pintar di Singapura. Warga Vietnam tersebut gagal mendapatkan semula wang yang dibayar untuk sebuah telefon iPhone 6 setelah dipaksa menandatangani sebuah resit. Pham Van Thoai seorang pekerja kilang mahu membeli sebuah iPhone 6 untuk teman wanita beliau. Beliau membayar S$ 950 untuk peranti tersebut dan kemudian menandatangani sebuah invois untuk khidmat jaminan selama setahun. Beliau menyangka khidmat jaminan kerosakan ini adalah percuma. Pham Van Thoai tidak menyedari pakej jaminan tersebut bernilai S$ 1500 dan apabila pemilik kedai meminta beliau menjelaskan baki bayaran beliau terkejut. Pemilik kedai kemudian enggan menyerahkan telefon tersebut kepada beliau sekiranya jumlah keseluruhan tidak dibayar. Pada waktu itu Pham Van Thoai sudahpun menyerahkan S$ 950 kepada penjual. Pham Van Thoai meminta wang beliau dikembalikan tetapi penjual enggan kerana menurut mereka invois sudah ditandatangani. Akhirnya Pham Van Thoai hanya menerima semula S$ 600 kerana terpaksa pulang semula ke Vietnam dan pihak polis tidak dapat campur tangan selepas melihat invois yang sudah ditandatangani.

Singapore-Vietnam-Scam

Kes penipuan licik ini menjadi viral dan mengakibatkan nama Singapura sebagai negara yang selamat untuk pelancong tercemar. Warga Singapura yang malu dengan apa yang terjadi kini mengumpul dana untuk membelikan Pham Van Thoai sebuah iPhone 6 sebenar melalui laman Indiegogo. Setakat ini dana sebanyak S$ 10213 berjaya dikumpul untuk beliau. Pemilik kedai yang menipu  ham Van Thoai pula kini menjadi mangsa “keadilan Internet” dengan nama penuh beliau, isteri, ibu dan juga alamat penuh mereka tersebar di internet. Akibatnya kesemua kedai pemilik kaki putar belit ini ditutup kerana malu.

Syabas buat warga Singapura yang mahu membantu Pham Van Thoai dan memulihkan imej bersih negara mereka. Di Malaysia kes menipu pelancong banyak berlaku dan sering kami dengari. Taktik “penipuan sah disisi undang-undang” ini sudah lama digunakan. Diharap kejadian yang menimpa Pham Van Thoai ini akan membuka mata kita untuk lebih berhati-hati sebelum menandatangani sesuatu. Sungguh tak disangka di Singapura juga ada penjual kaki kelentong.

Sumber Indiegogo


TIPS & ULASAN