Pushbullet Kini Membolehkan Anda Menghantar SMS Menggunakan Komputer

Pushbullet Kini Membolehkan Anda Menghantar SMS Menggunakan Komputer

Diterbitkan pada November 6, 2014 oleh .

Pushbullet merupakan sebuah pemalam khas untuk Chrome dan juga menawarkan aplikasi mudah-alih untuk memudahkan pengguna menguruskan beberapa perkara pada peranti mudah-alih terus daripada komputer. Beberapa minggu lepas, mereka telah memperkenalkan sokongan untuk membalas SMS, dan terkini Pushbullet turut menambah sokongan untuk menghantar SMS daripada komputer.

Pusbhbullet SMS

Untuk menghantar SMS, kini anda hanya perlu klik pada ikon Pushbullet pada pelayar web, dan seterusnya klik pada tab SMS. Dari sana, anda boleh memilih peranti dan memilih penerima mesej berkenaan. Memandangkan ia berhubung dengan peranti, anda boleh menaip nama penerima yang tersimpan pada buku alamat, dan ia akan memaparkannya pada tab berkenaan. Seterusnya, pengguna boleh menaip mesej dan menghantar terus melalui desktop dengan mudah.

Seperti biasa, memandangkan ia berhubung menggunakan peranti mudah-alih, anda perlu memastikan peranti anda mempunyai kredit yang mencukupi untuk menghantar SMS berkenaan. Pihak PushBullet juga turut menyediakan tetapan pada aplikasi mudah-alih untuk anda mematikan fungsi auto-complete untuk buku alamat melalui kemaskini ini – terutamanya bagi mereka yang tidak menyukai perkara tersebut.

Bagi anda yang menggunakan Pushbullet atau ingin mencubanya, boleh memuat-turun pemalam terbaru mereka, bersama-sama aplikasi mudah-alih untuk mencubanya hari ini.

Muat-Turun Pemalam Pushbullet Untuk Pelayar Web

Muat-Turun Aplikasi Pushbullet untuk Android


TIPS & ULASAN