Carian
Amazon Memperkenalkan Echo – Pembantu Maya Untuk Digunakan Dalam Rumah
November 7, 2014 Aman

Amazon EchoAmazon merupakan salah satu penjual e-dagang terbesar di dunia, dan mereka turut menawarkan beberapa gajet dan kandungan yang dibangunkan sendiri. Terkini, mereka hadir dengan sebuah produk baru dinamakan sebagai Amazon Echo – yang mana membawakan fungsi seperti Siri, Cortana dan Google Now; tetapi disasarkan untuk digunakan di dalam rumah.

Menggunakan Amazon Echo, ia menawarkan pelbagai informasi kepada pengguna melalui input suara. Amazon mengatakan ia dilengkapi dengan tujuh mikrfon untuk membolehkan ia mendengar suara pengguna daripada sebarang arah dan turut dilengkapi sokongan noise cancellation. Perkara ini sekaligus membolehkan Echo untuk mendengar kepada pertanyaan atau arahan anda, walaupun ketika ia sedang memainkan lagu.

Amazon Echo

Menggunakan Echo, pengguna boleh bertanyakan pelbagai soalan, informasi daripada WikiPedia, informasi berkaitan cuaca dan berita, pertanyaan mengenai muzik, arahan untuk memainkan lagu, menetapkan penggera, dan beberapa perkara lain. Seperti beberapa pembantu maya yang lain, Echo turut bergantung kepada internet, dan memerlukan pengguna menghubungkan ia kepada rangkaian WiFi di rumah terlebih dahulu sebelum dapat menggunakannya. Penggunaan internet ini juga membolehkan Amazon untuk mengemaskini Echo dengan fungsi-fungsi baru dari hari ke hari.

Echo turut hadir dengan speaker terbina, dimana pengguna boleh memainkan lagu terus melaluinya, ataupun menghubungkan peranti menggunakan Bluetooth dan memainkan lagu daripada telefon atau tablet terus melaluinya.

Amazon Echo ini masih terhad buat masa ini, dan pengguna memerlukan jemputan terlebih dahulu sebelum dapat membelinya. Ia dijual pada harga $199 (~RM663), dan mungkin kita akan dapat melihat Amazon menjual Echo secara lebih meluas tidak lama lagi.

http://www.youtube.com/watch?v=KkOCeAtKHIc

Komen