Mousr : Permainan Kucing Pintar

Mousr : Permainan Kucing Pintar

Diterbitkan pada November 7, 2014 oleh .

Kucing ialah haiwan peliharaan yang comel tetapi mempunyai banyak perangai yang buruk. Sebagai contoh kucing suka memilih makanan, merosakkan perabot dengan mencakar kuku dan pemalas. Kalau anda mahu bermain dengan kucing pula anda akan sedari mereka cepat bosan dengan permainan yang sama. Jadi apakah yang boleh dilakukan untuk menjadikan permainan kucing lebih seronok? Kerana kita hidup di dunia serba pintar dan “there’s an app for that” tidak mengejutkan kini wujud permainan kucing pintar.

Mousr-1

Mousr ialah tikus robot pintar yang digunakan untuk bermain dengan felis catus peliharaan anda. Tikus pintar ini boleh diprogramkan untuk bergerak dan bermain dengan kucing secara automatik. Terdapat kamera inframerah pada bahagian atas Mousr yang mengesan pergerakan kucing. Apabila ianya “diserang” ia akan bergerak melarikan diri seperti seekor tikus sebenar. Sekiranya anda mahu lebih berinteraksi dengan si manja, anda boleh mengawal Mousr seperti sebuah kenderaan kawalan radio menggunakan peranti pintar anda. Pelbagai pola pergerakan juga bole dimuat turun apabila diperlukan. Dengan Mousr anda tidak perlu merasa bersalah kerana tidak bermain dengan kucing anda lagi. Tikus pintar ini masih mengumpul dana dan dijual pada harga $100 sebuah. Sokong projek ini di Kickstarter jika berminat.

Apa yang kami perlukan sekarang ialah tempat membuang najis kucing pintar. Apabila terdapat najis ia akan secara automatik membuang najis dan mengisi pasir kucing apabila kekurangan. Ia juga harus mempunyai sistem mengawal aroma najis automatik. Manusia pertama yang berjaya mencipta sistem ini kami yakin akan menjadi billionwan seperti Mark Zuckerberg. Jika anda sudah menciptanya sila hubungi kami kerana kami ingin menyokong projek pintar anda. Lakukannya sekarang!

Mousr-2


TIPS & ULASAN