Cari @ Amanz

Setiap tahun kita pasti akan membaca berita anak kecil mati selepas dilanggar ahli keluarga yang sedang mengundurkan kereta. Tahun lalu seorang bayi 10 bulan meninggal dunia setelah dilanggar ibu yang sedang mengundurkan kereta di Terengganu. Bayi mati kerana mengalami kecederaan kepala yang serius. Kemalangan maut  juga tinggi di kalangan penunggang motosikal yang dilanggar oleh kereta yang tidak menyedari kehadiran mereka. Kesemua kemalangan di atas berlaku kerana wujudnya titik buta pada kenderaan. Ketika di kelas belajar memandu dahulu kami sering diingatkan oleh tenaga pelajar untuk memeriksa titik buta beberapa kali sebelum merubah haluan kenderaan. Tetapi biasalah selepas 18 tahun memandu kealpaan akan berlaku. Yang pasti sistem radar mengundur yang kini standard pada kesemua kereta baru tidak mencukupi untuk mengelakkan kemalangan daripada berlaku.

Capture

Di Jepun teknologi unjuran digunakan bagi memberikan ilusi kenderaan anda lutsinar. Kombinasi sistem kamera dan unjuran imej ke atas bahagian dalam kereta, pemandu boleh melihat menembusi badan kenderaan. Titik buta kenderaan sekaligus dapat dihapuskan membawa kepada pemanduan yang lebih selamat. Sistem unjuran yang dibangunkan oleh Universiti Keio ini boleh digunakan bagi melihat kebelakang dan juga sisi kenderaan. Jadi masalah kematian akibat digilis ketika mengundur dan melanggar kenderaan secara sisi dapat dielakkan. Teknologi ini masih dibangunkan dan belum bersedia untuk kegunaan komersial. Harapannya ialah apabila ianya digunakan pada kenderaan masa hadapan sistem yang digunakan akan menjadi mampu milik dan mudah digunakan pada kesemua kenderaan.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd