Xiaomi Ingin Mengumpulkan Dana Pada Nilai Syarikat $40 Bilion – Melebihi Nilai Sony Dan Lenovo

Xiaomi Ingin Mengumpulkan Dana Pada Nilai Syarikat $40 Bilion – Melebihi Nilai Sony Dan Lenovo

Diterbitkan pada November 9, 2014 oleh .

Xiaomi merupakan salah satu pengeluar peranti mudah-alih daripada China yang semakin meningkat naik dari hari ke hari. Mereka sedia mengatasi beberapa jenama terkemuka seperti Sony, HTC dan sebagainya dalam angka jualan, dan terkini mereka dilihat sedang mengumpulkan dana pada nilai syarikat melebihi $40 bilion (~RM133 bilion).

Menurut laporan awal, mereka sedang mengumpulkan dana sekitar $1.5 bilion (~RM5 bilion) daripada pelbagai pelabur pada nilai syarikat yang ditetapkan melebihi $40 bilion (~RM133 bilion). Pihak Xiaomi masih tidak mengeluarkan sebarang komen rasmi berkaitan dengannya, tetapi sekiranya ia benar, maka perkara ini akan meletakkan Xiaomi sebagai salah satu syarikat teknologi persendirian dengan nilai yang tinggi berbanding pelbagai syarikat lain. Nilai $40 bilion yang diletakkan juga agak tinggi jikalau dibandingkan dengan beberapa syarikat lain seperti Sony dan juga Lenovo.

Xiaomi buat masa ini berumur masih kurang lima tahun, tetapi dalam tempoh yang singkat tersebut ia telah menduduki lima tangga teratas dalam pengeluaran telefon, dan masih lagi memfokuskan pemasaran sekitar Asia sahaja buat masa ini. Xiaomi telah mula memasarkan peranti mereka secara global sejak awal tahun ini, termasuk memasuki pasaran Malaysia.

Xiaomi menjual pelbagai peranti pada harga rendah, memandangkan mereka tidak membelanjakan kos pada pengiklanan, disamping turut memfokuskan jualan terus kepada pelanggan melalui laman e-dagang mereka tersendiri.

Dana pelaburan yang dikumpulkan ini dilihat memfokuskan kepada penggunaan untuk terus memperluaskan penawaran mereka ke negara-negara baru sekitar Asia, mahupun diluar Asia.

Dengan pasaran China yang menarik minat ramai pelabur dan peminat teknologi akhir-akhir ini, mungkin kita akan dapat mendengar lebih berita lanjut berkaitan perkembangan syarikat Xiaomi tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN