Carian
Cradle Bekerjasama Dengan Empat Pelabur – Akan Memegang Ekuiti Dalam Startup Yang Dilaburkan
November 11, 2014 Ikhwan Nazri

Pada bulan Jun lepas Cradle Fund telah mengumumkan kerjasama bersama Golden Gate Ventures dan mereka bersetuju untuk mengadakan matching grant, dimana buat startup tempatan yang berjaya mendapatkan pelaburan dari Golden Gate Ventures, akan menerima nilai yang sama dari Cradle Fund tetapi tanpa sebarang ekuiti pada syarikat yang dilaburkan. Kini bersama 4 rakan strategik menerusi perjanjian baru, Cradle bakal memperoleh ekuiti dari syarikat yang dilaburkan.

Cradle

Cradle telah menandatangani perjanjian bersama-sama OSK Ventures International Berhad, FatFish Ventures, Crystal Horse Investments dan juga CoEnt Ventures. Menerusi perjanjian selama dua tahun ini, sejumlah RM 23 juta akan diperuntukkan bagi tujuan pelaburan. Dari jumlah tersebut, RM 11.5 juta adalah dari Cradle manakala baki RM 11.5 juta adalah dari gabungan 4 rakan kerjasama strategik tersebut. Cradle akan memberikan pelaburan sehingga RM500,000 manakala rakan kerjasama akan melabur pada nilai yang sama.

Membawa perubahan berbanding cara operasi sebelum ini, Nazrin Hassan, CEO Cradle turut mengumumkan yang Cradle akan mula mengambil ekuiti atas pelaburan. Bermula dari kini, Cradle akan menamatkan program geran kecuali untuk program bersama Golden Gate Ventures. Langkah sebegini dilakukan bagi mengurangkan kebergantungan startup terhadap dana dari kerajaan.

Perubahan ini sekaligus dijangka akan meningkatkan lagi penglibatan syarikat swasta dalam pelaburan untuk syarikat-syarikat teknologi baru, sekaligus meningkatkan lagi syarikat-syarikat yang berjaya di Malaysia dan rantau Asia Tenggara ini.

Sejak beroperasi lebih kurang 10 tahun, Cradle mengatakan mereka telah memberikan dana untuk hampir 700 syarikat teknologi dibawah program CIP Catalyst dan juga CIP500.

Komen