Ulasan Samsung Galaxy Note 4

Ulasan Samsung Galaxy Note 4

Diterbitkan pada November 17, 2014 oleh .

Angka empat bukahlah angka yang dianggap bertuah oleh sesetengah masyarakat Asia. Angka empat bunyinya terlalu hampir dengan perkataan kematian. Mengapa kami memulakan ulasan ini dengan mod yang agak sadis? Ini adalah kerana ketika artikel ini ditulis Samsung sedang menghadapi masalah dengan pesaing pasaran peranti Android. Jumlah jualan peranti mereka menurun setelah pengeluar dari China mula memasuki pasaran antarabangsa. Xiaomi sebagai contoh dengan agresif menjual peranti terbaik mereka pada harga sebuah peranti kelas pertengahan Samsung. Harga kini bukan lagi berkadar terus dengan kualiti dan kemampuan sesebuah peranti. Dengan membuang orang tengah dan pengiklanan yang mahal Xiaomi dengan mendadak kini menjadi pengeluar peranti mobil ketiga terbesar di dunia.  Pasaran phablet yang dahulunya dikuasai oleh Samsung mula dikikis oleh pengeluar lain. Nexus 6 dan iPhone 6 Plus ialah antara peranti yang bersaing secara terus dengan Note 4.  Kejayaan Note 4 di pasaran akan menentukan masa depan dan strategi mobil Samsung untuk masa terdekat. Adakah Samsung dapat melawan arus dan kembali gah di pasaran ataupun Note 4 hanya melambatkan zaman jatuhnya Samsung sebagai pengeluar peranti No 1 dunia. Jangan terkejut kerana tiada syarikat yang terlalu besar untuk jatuh. Tak percaya tanya sahaja Nokia. Baca ulasan ini untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan ini.

Rekaan

Samsung Galaxy Note 4
Pemproses Exynos Octa 5433 (1.9Ghz + 1.3GHz Empat-Teras)
RAM 3 GB
Muatan Dalaman 32 GB Sokong kad MikroSD sehingga 128 GB
Kamera Utama 16 MP dengan OIS
Kamera Depan 3.7  MP
Skrin 5.7″ SAMOLED Quad HD 515 PPI
Bateri 3220 mAh
SIM Mikro
Harga RM 2499

Dengan Galaxy Note 4, Samsung menggunakan rekaan yang dilihat pada Galaxy Alpha. Kemasan besi dan tubuh plastik yang sangat sinonim dengan peranti Samsung digantikan dengan kerangka aluminium yang kukuh. Setelah bertahun degil dengan rekaan “plastik fantastic” perubahan ini sangat dialu-alukan oleh kami. Kita sudah sampai ke penghujung 2014 dan peranti plastik yang dijual pada harga premium sudah tidak boleh diterima akal. Kemasan logam pada Note 4 ini bukan sahaja kelihatan cantik ianya juga memastikan masalah peranti bengkok yang melanda pesaing utama tidak akan dialaminya. Kami meletakkan Note 4 di dalam poket belakang seluar sepanjang masa dan melakukan ujian duduk secara manual. Setelah dua minggu peranti masih lagi rata seperti landasan KLIA dan tidak mengalami kerosakan. Sekiranya ketahanan sesebuah peranti adalah kepentingan bagi anda Note 4 boleh dimasukkan ke-dalam senarai peranti yang boleh anda miliki.

Tidak seperti Galaxy Alpha, tubuh Note 4 adalah jauh lebih selesa untuk dipegang. Tiada lagi chamfer tajam pada sisi panel belakang yang diperbuat daripada kulit palsunya sedikit melengkung. Pada Alpha panel belakangnya rata dan tidak mengikuti kontur pada telapak tangan. Bercakap tentang panel kulit palsu pada panel belakang, buatan kulit palsu kali ini semakin baik dan lembut berbanding yang digunakan pada Note 3. Oh ya skrin peranti ini juga melengkung pada bahagian tepi yang membuatkan jari lebih selesa ketika mentatal dari hujung ke hujung. Skrin SAMOLED kali ini masih lagi 5.7″ tetapi dengan resolusi Quad HD (515 ppi). Ia merupakan skrin peranti yang paling cantik dan menyerlah pernah kami lihat. Oppo Find 7 yang kami ulas beberapa bulan yang lalu turut mempunyai skrin QHD tetapi perbezaan kualiti skrin Note 4 adalah amat jelas. Ianya jauh lebih tajam dan penghasilan warnanya juga lebih hidup.

Kemasan logam pada Note 4 ini bukan sahaja kelihatan cantik ianya juga memastikan masalah peranti bengkok yang melanda pesaing utama tidak akan dialaminya

Pada bahagian kanan terdapat butang kuasa manakala pada bahagian kiri terdapat butang suara. Kedua-dua butang diperbuat daripada logam. Pada bahagian atas terdapat jack fon kepala dan pemancar infra merah. Pada bahagian bawah pula terdapat port pengecas USB 2.0 dan tempat menyimpan stylus. Nampaknya eksperimen Samsung dengan port USB 3.0 berakhir dengan Note 3. Ia mungkin memberikan kelajuan yang tinggi untuk memindahkan fail bersaiz besar tetapi port USB 3.0 kelihatan sangat hodoh pada sebuah peranti mudah alih.

Samsung mungkin sudah berubah dari estetik plastik tetapi rekaan butang fizikal pada bahagian hadapan dikekalkan. Butang home merangkap pengesan cap jari ini dihimpit oleh butang back pada bahagian kanan dan multi tasking pada bahagian kiri. Tiada pilihan untuk meletakkan butang kawalan pada skrin seperti yang ada pada One Plus One.

Dari segi kemampuan optik pula kamera utama sebesar 16 Megapixel dengan OIS dipadankan dengan kamera hadapan sebesar 3.7 Megapixel. Pada bahagian flash kamera utama, terdapat sebuah pengesan nadi.

Secara ringkasnya Samsung Galaxy Note 4 memperbaiki kelemahan rekaan plastik Samsung, menambah baik Note 3 dan meletakkan fungsi yang tidak disertakan pada Galaxy S5 . Di atas kertas Galaxy Note 4 ialah peranti terbaik Android yang boleh anda miliki.

 


Touchwiz

Melakukan mod pop up window juga lebih mudah. Tiada butang khas perlu ditekan. Hanya lakukan tatalan dari atas skrin ke bawah. Setakat ini perubahan kosmetik yang dilakukan oleh Samsung adalah sangat baik dan harus diterima pujian. Tetapi bagaimana pula dengan perubahan pada sistem operasi dan Touchwiz UX 3.0?

Jika anda seorang pengguna peranti Samsung sebelum ini tidak banyak perubahan besar dilakukan pada paparan antaramuka. Fungsi-fungsi tambahan seperti Smart Stay dan Smart Scroll Samsung dikekalkan. Kesemua fungsi tambahan ini disertakan bagi memudahkan anda menggunakan Note 4 sebagai peranti harian anda. Persoalan sama ada anda akan menggunakan kesemua fungsi tambahan ini ataupun tidak adalah tidak penting. Adalah lebih baik mempunyai fungsi tambahan dari tiada langsung. Pengguna peranti Nexus ataupun Android Vanilla akan faham dengan kenyataan ini.

Untuk Note 4 perubahan pertama yang anda akan sedar ialah cara skrin multi tasking dipaparkan. Ianya mirip yang digunakan pada Android Lollipop. Kesemua aplikasi yang dilancarkan disusun secara bertingkat seperti di dalam ruang tiga dimensi. Ikhlas kami katakan sistem paparan bertingkat ini mungkin kelihatan cantik tetapi secara pratikalnya ianya tidak mesra pengguna. Pada hemat kami (dan anda boleh tidak bersetuju) paparan multi tasking yang digunakan pada peranti HTC melalui Sense 5.0 ke atas adalah lebih praktikal. Anda hanya boleh melihat sehingga 5 aplikasi yang dilancarkan menggunakan antaramuka Lollipop. Pada Sense 9 aplikasi terakhir akan dipaparkan. Sebagai seorang pengguna yang melancarkan banyak aplikasi serentak paparan antaramuka multi tasking Sense adalah jauh lebih baik. Tidak perlu mentatal atas dan ke bawah untuk mencari aplikasi yang terselindung di dalam carousel bertingkat Lollipop.

 

Multi Window dan Pop Up Baharu

Dari paparan multitasking kini anda boleh melancarkan dua aplikasi serentak Multi Window. Aplikasi yang boleh menggunakan Multi Window akan mempunyai ikon berkotak pada skrin multi tasking. Tekan ikon ini dan skrin secara automatik terbahagi kepada dua. Senarai aplikasi lain yang boleh menggunakan mod multi window akan turut dipaparkan. Perubahan ini mungkin kecil tetapi mempercepatkan proses melancarkan skrin multi window berbanding versi terdahulu.

Selain itu melancarkan mod pop up window juga lebih mudah. Tiada butang khas perlu ditekan. Hanya lakukan tatalan dari atas skrin ke bawah. Aplikasi yang boleh dikecilkan di dalam mod pop up akan muncul di dalam tetingkap kecil seperti di dalam gambar di bawah. Antara aplikasi yang boleh melakukan mod pop up ialah kamera, Chrome, WhatsApp dan S Note. Dari skrin tetingkap mini ini anda boleh mengecilkannya lagi sehingga ia kelihatan seperti ikon bulat yang terapung pada kesemua skrin. Pada gambar di bawah aplikasi kamera telah kami kecilkan dan ia kini digambarkan di dalam bentuk ikon bulat kamera. Ini sebuah lagi inovasi yang dilakukan Samsung. Ianya sangat berguna tetapi kami berharap lebih banyak aplikasi akan menyokong mod tetingkap kecil ini.

 

 

Stylus Dan S Note

Stylus berteknologi Wacom digunakan sekali lagi tetapi kali ini dengan 2048 tahap kepekaan. Ini adalah dua kali ganda dari yang digunakan pada Note 3. Sebagai perbandingan tahap kepekaan stylus pada Note 1 adalah hanya 256 . Menurut Samsung ini akan membuatkan menggunakan stylus pada Note 4 akan terasa lebih lancar dan semula jadi. Harus kami akui stylus Note 4 adalah yang paling lancar yang pernah kami gunakan pada peranti phablet. Perubahan lain yang dilakukan ialah pada fungsi Air Command. Kini hanya terdapat empat pilihan berbanding lima. Pilihan untuk S Finder tidak lagi wujud keran ianya kini boleh dilancarkan terus menerusi talam notifikasi.

Pada Note 4 anda juga boleh mengambil screenshot berkali-kali menggunakan stylus. Setiap kali ruang skrin ditangkap menggunakan stylus terdapat pilihan untuk menyimpannya seperti fungsi clipboard pada sebuah PC. Kesemua gambar skrin yang ditangkap kemudian boleh disimpan di dalam buku notanya sendiri melalui aplikasi S Note. Kepelbagaian fungsi yang digandingkan dengan stylus dengan kepekaan tinggi mengukuhkan Note sebagai phablet berstylus terbaik di pasaran.

Sela Masa

Pada hari pertama kami menerima peranti ini kami mengumumkannya di laman Twitter. Majoriti soalan yang diterima dari pembaca semua adalah “adakah masalah sela masa Touchwiz dapat diselesaikan”. Jawapan ikhlas kami ialah tidak. Sela masa yang kini sinonim dengan Touchwiz masih menghantui Note 4. Ini adalah mengecewakan kerana spesifikasi peranti ini sangatlah tinggi.  Sela masa yang dialami bukanlah kerana peranti ini tidak berkuasa tetapi kerana penggunaan animasi peralihan (transitional animation) setiap kali aplikasi dilancarkan. Sebagai contoh katakanlah kami sedang menggunakan aplikasi Whatsapp dan mahu berubah kepada aplikasi Facebook. Kami menekan butang multitasking untuk memilih aplikasi Facebook yang telahpun dibuka sebelum ini. Animasi peralihan untuk menutup paparan Whatsapp dan memaparkan skrin multi tasking mengambil masa hampir 1 saat. Kemudian apabila kami memilih Facebook dari paparan multi tasking animasi peralihan ini akan dilakukan sekali lagi.

Di makmal Amanz kini kami sedang menguji sebuah Motorola Moto G 2014. Kemampuan Moto G 2014 (1.2 GHz Snapdragon 400) adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan Note 4 tetapi peranti ini terasa lebih pantas dan responsif. Ini adalah kerana Moto G dengan Android Vanilla tidak menggunakan animasi peralihan yang berlebihan seperti Touchwiz. Kami yakin jika Samsung membuang kesemua animasi peralihan yang digunakan pada Touchwiz, peranti-peranti mereka akan terasa lebih pantas dari apa yang berlaku sekarang. Kemampuan mematikan kesemua animasi peralihan tidak diberikan buat masa ini kerana ianya tersorok. Anda perlu mengaktifkan develop options untuk mematikannya dan kami yakin majoriti pengguna Samsung tidak tahu anda mempunyai pilihan ini.

Setiap tahun Samsung memperkenalkan pelbagai fungsi baharu pada peranti utama mereka. Fungsi-fungsi baharu ini dikatakan dapat membuatkan tugasan pengguna dapat dilakukan dengan lebih mudah. Kami berdoa pada pengumuman peranti utama mereka (Samsung Galaxy S6) mereka akan mengumumkan “kami memperbaiki Touchwiz dan kini tiada lagi animasi peralihan berlebihan”. Ini adalah fungsi yang PALING kami mahukan Samsung. Dengarkanlah keluhan kami.


Kamera

Kamera 16 Megapixel digunakan pada Note 4. Ini adalah penambahbaikan dari 13 Megapixel yang digunakan pada model tahun lalu. Kamera Note 4 juga diberikan fungsi penstabilan imej opktikal (OIS) bagi mengurangkan gegaran ketika mengambil gambar. Seperti Note 3, Note 4 juga mampu mengambil video pada resolusi 4K. Terdapat juga sokongan mengambil video perlahan pada kadar 120 ataupun 240 frame sesaat.

Dari segi antaramuka pula, Samsung mengurangkan jumlah pra-tetapan terbina pada skrin pilihan mod. JIka dahulu terdapat sehingga 10 mod mengambil gambar seperti Action Shot dan Sound Shot, kali ini hanya 7 pratetapan disertakan. Pra tetapan yang lain sebaliknya perlu dimuat turun oleh pengguna.

 

Dua fungsi baharu yang menarik ialah Wide Selfie dan Rear Cam Selfie. Dengan Wide Selfie anda boleh mengambil gambar selfie yang lebih besar. Ini digunakan untuk mengambil gambar secara berkumpulan. Apabila butang pengatup ditekan kamera akan mengambil sekeping gambar, pengguna kemudian menggerakkan peranti ke kiri dan ke kanan untuk menangkap gambar yang lebih lebar. Gambar yang diambil akan disambungkan menjadi sebuah gambar besar. Ketika mengambil selfie, pengesan nadi yang terletak di bawah lensa kamera boleh digunakan untuk mengambil gambar. Tekan pengesan nadi untuk beberapa saat dan kemudian lepaskan. Peranti kemudian akan mengambil gambar secara automatik.Menggunakan pengesan nadi adalah jauh lebih mudah dari sistem O-Touch yang digunakan pada Oppo N1.

Rear Cam Selfie pula memudahkan anda mengambil selfie menggunakan kamera utama. Peranti akan mengesan wajah pengguna sebelum mengambil selfie secara automatik apabila wajah memasuki bingkai pengesan yang ditetapkan.

Berikut adalah beberapa contoh gambar yang kami ambil menggunakan kamera Galaxy Note 4. Gambar pertama di bawah diambil ketika kereta yang kami naiki sedang bergerak. Sungguhpun begitu kualiti gambar adalah amat baik. Sistem OIS terbina mengurangkan gegaran dan memastikan tiada kekaburan pada imej berlaku.

 

Ini pula gambar di dalam kawasan tertutup. Sekali lagi gambar yang diambil adalah baik. Penghasilan warna juga berpadanan dengan objek yang diambil.

 

 

Di dalam ruangan yang gelap gambar yang diambil adalah agak terang. Tiada masalah noise ketara yang dapat kami kesan.

 

 

Mod makro juga berfungsi dengan baik.  Kami tidak mengalami masalah memfokus pada jarak dekat.

 

Ini pula contoh Wide Selfie. Kamera hadapan Note 4 ialah sebesar 3.7 Megapixel sahaja dan jelas kelihatan kualiti gambar dan penghasilan warna

 

 

Kesimpulan

Walaupun Note 4 mempunyai saiz sensor yang lebih kecil dari Sony Xperia Z3, kualiti gambar yang dihasilkan oleh peranti ini setanding dengan peranti yang kami nobatkan sebagai peranti Android terbaik 2014.  Penghasilan warna yang sangat baik, kualiti gambar yang terang dalam keadaan gelap dan ia dilengkapi sistem OIS.  Fungsi Wide Selfie yang diperkenalkan ialah gimik yang menarik namum saiz sensor yang kecil pada kamera hadapan tidak menghasilkan gambar dengan kualiti yang memuaskan. Sungguhpun begitu fungsi Rear Camera Selfie yang diperkenalkan adalah lebih berfungsi dan menghasilkan gambar dengan warna yang lebih bermaya.

Video

Pada hemat kami rakaman video 4K Note 4 adalah lebih baik dari yang dirakam menggunakan Xperia Z3. Imej lebih jelas dan tajam. Sistem OIS terbina juga memastikan video yang lebih stabil. Sungguhpun begitu kualiti rakaman 240 FPS Xperia Z3 pula adalah lebih lancar berbanding Note 4. Video gerak perlahan Note 4 juga tidak mampu diambil dengan rakaman audio. Mengapa audio dimatikan di dalam mod ini pada Note 4 tidak pula kami ketahui.

 


Penanda Aras

Di Malaysia Note 4 diperkasakan oleh pemproses lapan teras Exynos 5433. Ianya gabungan 1.9 GHz empat teras dan 1.3 GHz empat teras. Ini adalah penaiktarafan yang kecil berbanding Exynos 5430 (1.8 GHz empat teras + 1.3 GHz empat teras) yang digunakan pada Galaxy Alpha. Sungguhpun begitu penambahan pada markah penanda aras Note 4 berbanding Alpha adalah agak besar. Dari perbandingan di bawah jelas kelihatan Note 4 ialah peranti yang paling berkuasa di dalam carta makmal ujian Amanz. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah peranti dan aplikasi gagal berfungsi. Masalah peranti melakukan reboot secara rawak jugak tidak berlaku. Ini adalah masalah yang kami temui pada Galaxy Note 3 sebelum ini. Kestabilan Note 4 tidak perlu diragui oleh pengguna.

 


Bateri

Bateri 3220 mAh digunakan pada Note 4 dan pada awalnya kami agak risau dengan kapasiti bateri yang kecil ini. Ini adalah kerana peranti ini dilengkapi skrin QHD dan pemproses lapan teras. Pada Oppo Find 7 yang juga mempunyai skrin QHD, hayat penggunaan tidak mampu mencecah 8 jam. Pada Note 4 hayat baterinya sedikit lebih baik kerana mampu bertahan selama hampir 8.5 jam (skrin terpasang selama 5 jam 12 minit) pada penggunaan berat. Pada penggunaan sederhana peranti mampu bertahan hampir 12 jam.  Anda masih memerlukan sebuah power bank untuk kegunaan sepanjang hari. Dari segi ini Note 4 tidak mampu menandingi ketahanan bateri Sony Xperia Z3 yang boleh bertahan selama 13 jam pada penggunaan berat. Berita baik disini ialah Note 4 menyokong teknologi pengecasan pantas. Bateri dapat dicas ke tahap 50% dalam masa 30 minit. Namun anda memerlukan pengecas yang disertakan sekali dengan Note 4 untuk mengecas pada kelajuan ini. Tahap kelajuan pengecasan Note 4 sedikit perlahan jika dibandingkan dengan Oppo Find 7 yang menggunakan teknologi VOCC. Pada peranti tersebut bateri dapat dicas sehingga 75% dalam masa 30 minit.

 


Penutup

Pasaran peranti phablet dimulakan oleh Samsung empat tahun yang lalu. Pernah suatu ketika peranti bersaiz phablet ditertawakan oleh tokoh besar dunia peranti yang kini sudah meninggal dunia akibat kanser pankreas. Sejak kematian beliau pasaran phablet semakin sihat mengakibatkan syarikat beliau sendiri kini menghasilkan sebuah phablet. Google juga tidak mahu kalah dan menghasilkan Nexus 6. Kedua-dua peranti pesaing ini memasuki pasaran phablet dengan satu perbezaan ketara. Kedua-duanya tidak mempunyai stylus terbina. Soalan yang akan ditanya sekarang ialah adakah phablet dengan stylus masih relevan?

Sepanjang tempoh ujian kami hanya menggunakan stylus yang disertakan sekadar untuk melihat apakah fungsi baharu yang disertakan. Selepas itu kami lebih selesa melakar dengan menggunakan hujung jari. Pada hemat kami stylus Wacom Note 4, seperti berpuluh fungsi tambahan Touchwiz adalah bagus tetapi tidak digunakan dalam 90% kegunaan harian. Kami rasakan adalah lebih baik Samsung menghabiskan masa dan wang dalam membaiki masalah sela masa yang kini sudah endemik dalam setiap iterasi Touchwiz. Adalah tidak masuk akal sebuah peranti dengan markah penanda aras tinggi mempunyai masalah sela masa. Pada waktu yang sama sebuah Motorola Moto G yang mencatatkan 1/3 markah penanda aras Note 4 tidak mengalami masalah ini.

 

 

Adakah Note 4 sebuah peranti yang bagus? Jawapannya ya jika dibandingkan dengan peranti Samsung yang lain. Apabila dibandingkan dengan pesaing jawapannya berbeza. Skrin Note 4 mungkin paling baik, kualiti binaannya berkualiti, kameranya antara yang tercantik, spesifikasinya pula amat mengagumkan, fungsi tambahan memberi nilai wang yang tinggi tetapi jika penggunaan peranti masih tidak lancar kesemua yang kami senaraikan tadi tidak boleh dinikmati dengan sempurna. Seperti di dalam ulasan Samsung Galaxy Alpha, kami masih mengharap Samsung akan memberikan pilihan mematikan kesemua animasi TouchWiz. Pilihan ini tidak diberikan secara terbuka dan hanya boleh diakses dengan mengaktifkan tetapan Developer Options yang tersembunyi. Masalah sela masa yang dialami sebelum ini bukan kerana peranti Samsung tidak mempunyai spesifikasi yang tinggi tetapi kerana animasi yang tidak diperlukan.

Pada hemat kami kelancaran dan kepantasan menggunakan peranti adalah perkara yang lebih penting, Selepas ini dapat dicapai barulah komponen lain ditambah untuk mengayakan user experience. Apple menyedari hakikat ini dan tidak mengendahkan hilai tawa pengguna Android yang mengatakan funsgi IOS adalah terhad. Fungsi-fungsi tambahan IOS adakah sedikit  jika dibandingkan dengan Android Jelly Bean. Tetapi adakah fungsi-fungsi yang banyak lebih penting dari kelancaran operasi setiap hari? Kami rasakan tidak.

Samsung Galaxy Note 4 ialah phablet berprestasi tinggi dengan kemampuan kamera yang baik serta sokongan stylus yang terbaik di pasaran. Ianya phablet dengan stylus dan aperanti Samsung terbaik yang pernah dihasilkan. Jadi adalah mengecewakan masalah sela masa turun-temurun Touchwiz ialah masalah yang masih belum dapat diselesaikan pihak Samsung. Kami mengesyorkan peranti ini sekiranya anda mahukan phablet berstylus terbaik di pasaran dan boleh bersabar dengan sela masa yang sering dikaitkan dengan Touchwiz.

PRO dan Kelebihan
  • Spesifikasi yang tinggi. Menjuarai carta markah penanda aras mengalahkan Galaxy Alpha.
  • Skrin QHD dengan kepadatan pixel 551 ppi. Tertinggi bagi sebuah peranti mudah alih. Paparan nampak hidup terutamanya apabila menonton video 4K.
  • Rekaan badan yang premium diperbuat daripada logam. Kemasan kulit palsu di bahagian belakangnya juga sangat selesa dipegang. Panel belakang melengkung mengikut kontur tapak tangan.
  • Kamera yang sangat baik dengan pelbagai fungsi tambahan.
  • Stylus yang mempunyai tahap kepekaan yang lebih baik berbanding Note 3. Kombinasi stylus Wacom dan aplikasi Samsung masih yang terbaik berbanding pesaing yang ada di pasaran.
KONTRA dan Kekurangan
  • Hayat bateri di bawah 9 jam pada penggunaan berat. Ini mungkin baik baik sebuah peranti dengan skrin QHD tetapi jangka hayat bateri ini masih singkat bagi penggunaan harian.
  • Pembesar suara mono. Pasaran sekarang memerlukan peranti dengan pembesar suara stereo yang menghala ke hadapan.
  • Masih terdapat masalah lengah masa walaupun dilengkapi pemproses berkuasa tinggi dan RAM sebesar 3 Gigabyte. Sekali lagi kami menggesa Samsung untuk melakukan perubahan besar kepada TouchWiz yang merupakan sumber masalah ini.

 


TIPS & ULASAN