Huawei Malaysia hari ini telah pun secara rasminya memperkenalkan telefon pintar dibawah keluarga phablet terbaru daripada mereka, dinamakan sebagai Huawei Ascend Mate 7. Peranti ini merupakan generasi ketiga dibawah keluarga Ascend Mate dan masih mengekalkan skrin 6-inci seperti versi asal.
Huawei Ascend Mate 7 ini menggunakan cip pemprosesan tersendiri daripada pihak Huawei, iaitu Kirin 920 lapan-teras yang mana mengabungkan A15 1.8GHz dan juga A7 1.3Ghz – membolehkan ia mengoptimasikan penggunaan tenaga bateri dengan lebih baik. Pihak Huawei mengatakan ia menawarkan masa penggunaan bateri sehingga 2 hari lamanya. Telefon pintar ini turut dilengkapi dengan kamera belakang 13-megapixel dan juga kamera hadapan 5-megapixel.
Menjadi fokus pada peranti ini juga adalah penggunaan pengimbas cap jari pada bahagian belakang. Ia membolehkan pengguna untuk mengakses peranti dengan pantas tanpa perlu memasukkan kata laluan, dan mengunci peranti dengan lebih selamat.
Dari segi rekaan, ia menggunakan binaan berasaskan kepada logam, dan membawakan ketebalan sekitar 7.9mm dan berat sekitar 185h.
Huawei Ascend Mate 7 turut dilengkapi dengan antaramuka EMUI 3.0 terbaru daripada Huawei, yang mana membawakan kemaskini dari segi rekabentuk dan cara penggunaan antaramuka yang berbeza dengan sebelumnya. Pengguna boleh menatal ke kiri dan dari atas ke bawah untuk mengakses menu dan kandungan tambahan pada aplikasi terbina di Ascend Mate 7. Beberapa fungsi lain yang turut hadir melaluinya adalah termasuk sokongan Panorama Selfie.
Huawei Ascend Mate 7 hadir dalam dua variasi, iaitu dengan pilihan 2GB RAM dan juga 16GB storan, ataupun 3GB RAM dan juga 32GB storan. Versi asas dengan 2GB RAM berharga RM1799, sementara versi premium pula berharga RM1999 serta hadir dalam pilihan warna emas. Selain pilihan warna peranti dan memori serta ruangan yang besar, pihak Huawei turut menawarkan sokongan dwi-SIM pada versi 3GB RAM. Pengguna boleh menggunakan slot mikro-SD sebagai slot kad-SIM kedua (menggunakan nano-SIM) untuk tujuan tersebut. Kedua-dua slot menyokong rangkaian 4G LTE, tetapi pengguna hanya boleh mengaktifkan hanya satu pada sesuatu masa.
Huawei turut mengatakan yang mana mereka turut menawarkan penukaran satu ke satu untuk tempoh setahun bagi peranti ini, jadi sekiranya anda mempunyai sebarang masalah dengan Ascend Mate 7, pihak Huawei akan menukarkannya dengan set baru.