CyberSecurity Malaysia merupakan salah satu agensi dibawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; memantau pelbagai perkara berkaitan sekuriti dan keselematan dalam arena dunia siber. Terkini, mereka menganugerahkan pihak Huawei dengan anugerah “Cyber Security Ogranization of the Year”.
Anugerah adalah sebagai menghargai usaha para individu, dan organisasi yang menyumbang kepada peningkatan piawaian sekuriti siber dan juga informasi di Malaysia. Setelah melalui pelbagai fasa pemilihan, Huawei dipilih sebagai pemenangnya untuk tahun ini.
Dalam arena teknologi pada hari ini, sekuriti telah menjadi salah satu perkara utama yang dibincangkan memandangkan ia melibatkan pelbagai data peribadi pengguna. Huawei dikatakan menawarkan sekuriti dari hujung ke hujung dalam sekuriti siber, termasuk dalam aspek strategi, pengurusan, piawaian, proses dan sebagainya.
Huawei telah berada di Malaysia sejak 13 tahun yang lepas, dan kini mempunyai lebih kurang 1900 pekerja di Malaysia. Selain penawaran peranti mudah-alih, perkhidmatan utama mereka yang membawa kepada anugerah ini adalah dari segi penawaran perkhidmatan kepada syarikat telekomunikasi dari segi teknologi dan juga infrastruktur. Huawei juga dikatakan merupakan salah satu syarikat yang menyumbang ke arah pembangunan jalur-lebar berkelajuan tinggi, 4G dan sebagainya di Malaysia.