Cari @ Amanz

Motorola Moto G yang muncul tahun lalu adalah antara peranti yang paling menggembirakan untuk diulas. Ini adalah kerana pada awalnya kami menjangkakan ianya sebuah peranti kelas bawah yang akan mengalami pelbagai masalah jika dibandingkan dengan peranti kelas tinggi yang kami sering ulas. Sungguhpun spesifikasinya tidak mengagumkan, Moto G sangat lancar digunakan dan berfungsi lebih baik dari majoriti peranti yang mempunyai spesifikasi lebih tinggi. Jelas sekali jika optimasi dilakukan dengan sempurna, Android boleh dijalankan dengan lancar. Sejak Moto G dilancarkan pada harga yang pada waktu tersebut sangat mampu milik, pasaran peranti tempatan sudah dimasuki peranti dari China. Peranti dari Huawei dan Xiaomi dengan spesifikasi tinggi dijual pada harga yang masih kami rasakan tidak masuk akal. Adakah Moto G 2014 masih mempunyai tempat di pasaran Malaysia ataupun tidak? Ulasan di bawah akan menjawab persoalan ini dengan sebaik mungkin.

Rekaan

Motorola Moto G 2014
Pemproses 1.2 GHz Empat Teras Snapdragon 400
RAM 1 GB
Muatan Dalaman 8 GB Sokong kad MikroSD sehingga 32 GB
Kamera Utama 8 MP
Kamera Depan 2 MP
Skrin 5.0″ 720P (294 ppi)
Bateri 2070 mAh
SIM Dwi SIM Mikro
Harga RM 688

Selalunya apabila model baru sesebuah peranti dihasilkan, perubahan yang paling ketara dilakukan ialah pada kemampuan pemproses. Aneh sekali Motorola tidak melakukan perubahan langsung pada pemproses Moto G 2014. Pemproses 1.2 GHz empat teras Snapdragon 400 dikekalkan seperti model sebelum ini. Begitu juga dengan RAM yang masih hanya 1 Gigabyte. Pilihan muatan dalaman pula dikurangkan dengan hanya model 8 Gigabyte dijual di pasaran. Ruang muatan dalaman yang kecil tetapi peranti ini menyokong penambahan memori dalaman sehingga 32 Gigabyte dengan menggunakan kad MikroSD. Saiz skrin dipertingkatkan dari 4.5″ naik ke 5″ IPS LCD. Resolusi masih 720P dengan kepadatan pixel 294 ppi. Slot untuk dua kad SIM Mikro dan kad MikroSD terletak pada bahagian belakang peranti. Panel belakang Moto G 2014 harus dikupil bagi mengakses slot-slot ini. Sungguhpun panel belakang boleh dibuka, bateri sebesar 2070 mAh peranti ini tidak boleh dibuka oleh pengguna.

Kemampuan optik dinaikkan sedikit dari 5 Megapixel ke 8 Megapixel. Kamera hadapan pula dinaikkan dari 1.7 Megapixel ke 2 Megapixel. Mod rakaman dihadkan pada resolusi 720P sahaja dengan pilihan merakam video pergerakan perlahan sekiranya perlu.  Pembesar suara stereo berkembar diletakkan pada bahagian hadapan peranti seperti yang ada pada HTC One Buterfly 2 dan Xperia Z3. Tiada kekisi diletakkan pada pembesar suara ini. Yang ada hanyalah alur terbuka bagi membenarkan bunyi keluar. Pilihan yang agak aneh dan pastinya mengumpul debu dalam jangka masa panjang. Kualiti bunyi yang dihasilkan tidak berapa memuaskan jika dibandingkan dengan dua peranti yang kami sebutkan tadi. Bunyi adalah sedikit pecah pada tetapan audio tertinggi dan tiada dentuman bass yang memuaskan seperti sistem Boomsound HTC.

Aneh sekali Motorola tidak melakukan perubahan langsung pada pemproses Moto G 2014.

Butang kuasa dan suara terletak pada bahagian kanan manakala port pengecas USB terletak pada bahagian bawah. Pada bahagian atas pula terdapat jack fon telinga. Tiada pemancar infra merah disertakan

Dari segi rekaan tidak ada yang menakjubkan. Kemasan dan butang-butang utama diperbuat daripada plastik. Permukaan panel belakang yang melengkung memudahkan genggaman tetapi ianya diperbuat daripada bahan licin. Kami lebih gemarkan panel belakang bertekstur kerana ia mengurangkan kebarangkalian peranti mudah terjatuh ketika dipegang. Sungguhpun diperbuat daripada bahan plastik, rekaan peranti ini terasa kukuh. Butang-butang plastik yang digunakan adalah cukup keras dan tidak bergoyang ketika digunakan.

[amanz-gallery]

 


Antaramuka

Antaramuka yang digunakan tidak banyak berbeza dari Android asal. Kustomasi yang dilakukan oleh pihak Motorola adalah minimum. Jadi tidak mengejutkan Motorola Moto G 2014 ialah peranti pertama yang menerima kemas kini  Lollipop beberapa minggu yang lalu. Harus dinyatakan kami menggunakan Moto G versi dua sim dan sehingga kini kami masih menerima kemasan Lollipop.

Kerana kustomasi yang minimum peranti ini boleh digunakan dengan sangat lancar sungguhpun mempunyai spesifikasi yang rendah. Tiada masalah lengah masa apabila melancarkan aplikasi ataupun bertukar aplikasi. Kekurangan yang ada ialah dari segi jumlah RAM. Kerana hanya dilengkapi RAM 1 Gigabyte, aplikasi yang tidak digunakan akan dimatikan oleh sistem. Sebagai contoh sekiranya kami menggunakan Chrome, laman yang dibuka terpaksa dimuat turun semula sekiranya kami membuka 3 aplikasi lain sebelum kembali ke Chrome. Kami sedari peranti ini hanya boleh membuka 3 aplikasi serentak tanpa aplikasi yang tidak digunakan ditutup. Jadi sekiranya anda seorang multi tasker kekurangan pada bahagian RAM ini akan memperlahankan tugasan anda.

Dari segi kepantasan kami rasakan ianya lebih lancar jika dibandingkan dengan sebuah Galaxy Note 4 yang kami ulas beberapa minggu yang lalu Dari segi kepantasan kami rasakan ianya lebih lancar jika dibandingkan dengan sebuah Galaxy Note 4 yang kami ulas beberapa minggu yang lalu. Sebenarnya ini tidak mengejutkan kerana mana-mana peranti yang menggunakan Android stock akan berfungsi dengan baik kerana ianya kurang berat jika dibandingkan dengan Touchwiz. Tetapi kepantasan dan kelancaran ini datang sekali dengan beberapa kekurangan yang ketara. Pertama sekali fungsi tambahan tidak wujud. Tiada fungsi pop up window, multi screen ataupun merekod skrin secara terus. Ini adalah pro dan kontra menggunakan peranti Android stock.

Sepanjang tempoh ulasan kami tidak mengalami sebarang masalah peranti terhenti ataupun aplikasi tertutup dengan sendiri. Sistem operasi Moto G 2014 adalah cukup stabil. Sungguhpun begitu kami menyedari panel belakang peranti menjadi sedikit panas apabila GPS digunakan dan ketika dicas.

Motorola tidak melakukan perubahan yang ketara pada antaramuka tetapi mereka ada memasukkan beberapa aplikasi khas  Motorola Assist, Alert dan Migrate. Assist melakukan beberapa tugasan pada peranti secara automatik. Apabila ia mengesan anda sedang memandu ia boleh ditetapkan untuk menghantar SMS kepada pemanggil secara automatik mengatakan anda sedang memandu. Ketika tidur pula deringan boleh dimatikan supaya anda tidak terganggu dengan hanya beberapa nombor ahli keluarga sahaja yang akan berdering. Alert pula membolehkan mesej kecemasan dihantar kepada ahli keluarga secara automatik. Lokasi mesej dihantar juga dihantar kepada senarai nama yang telah anda tetapkan. Akhir sekali ialah Migrate yang memudahkan anda menghantar kandungan telefon lama kepada Moto G 2014.


Kamera

Kamera 8 Megapixel digunakan kali ini dengan flash. Peningkatan sebanyak 3 Megapixel berbanding model tahun lalu. Sungguhpun begitu kemampuan video masih lagi terhad kepada 720P. Kemampuan video perlahan masih lagi dikekalkan tetapi tanpa sokongan audio. Antaramuka aplikasi kamera Moto G 2014 adalah sangat minimalis dengan hanya pilihan butang video dan menukar kamera. Untuk mengambil gambar pengguna harus menekan skrin. Untuk mengambil gambar dalam mod burst pula tekan skrin untuk beberapa saat. Skrin tetapan aplikasi kamera dilakukan dengan melakukan tatalan pada bahagian kiri aplikasi. Pilihan yang diberikan adalah terhad. Sebagai contoh pengguna hanya boleh memilih resolusi 8 ataupun 6 Megapixel dan video terhad kepada 720P dan gerak perlahan. Dari segi pilihan mod gambar pula ianya terhad kepada HDR dan Panorama sahaja.

Berikut ialah beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan kamera Moto G.



Kesimpulan

Kualiti gambar yang diambil adalah sederhana tetapi menunjukkan peningkatan berbanding model 2013. Gambar ada kawasan terbuka dengan pencahayaan yang cukup adalah baik tetapi kami sedari penghasilan warna kuran tepat. Gambar agak kusam dan tidak cukup tajam. Pada keadaan pencahayaan kurang baik kualiti gambar menurun. Kami sedari masalah grain dan bleeding yang cukup ketara dalam situasi gelap. Gambar jarak dekat juga kurang baik. Secara keseluruhan kamera Moto G 2014 adalah sederhana dan hanya sesuai digunakan untuk berkongsi di laman sosial.

Video

Rakaman video terhad pada resolusi 720P sungguhpun sensor kamera dinaikkan kepada 8 Megapixel. Di pasaran sekarang majoriti peranti boleh mengambil video pada resolusi 1080P. Kamera hadapan sesetengah peranti yang mempunyai sensor hanya 3 Megapixel mampu mengambil video HD penuh dan keputusan Motorola menghadkan rakaman pada resolusi 720P pada Moto G 2014 adalah menghairankan. Di bawah ialah contoh video gerak perlahan yang kami ambil menggunakan kamera Moto G.

 


Penanda Aras

Markah penanda aras adalah rendah seperti model tahun lalu. Sungguhpun begitu seperti yang kami katakan pada awal ulasan peranti ini masih lagi mampu berfungsi dengan cukup lancar tanpa masalah sela masa. Kami sedari kerana jumlah RAM yang kecil serta kemampuan pemproses yang rendah, aplikasi permainan dilancarkan dengan perlahan. Sekiranya anda banyak bermain aplikasi permainan 3D Moto G 2014 bukanlah peranti untuk anda.


Bateri

Sungguhpun Moto G 2014 menggunakan skrin yang lebih besar berbanding model tahun lalu, saiz bateri 2070 mAh dikekalkan. Tidak mengejutkan ini mengakibatkan ketahanan hayat bateri Moto G 2014 menurun dengan mendadak. Pada penggunaan berat ia mampu bertahan di antara 7-8 jam sahaja dengan tempoh skrin hidup hampir 4 jam. Moto G 2013 mampu bertahan di antara 9-10 jam. Jelas kelihatan ketahanan bateri turun sebanyak 22 peratus. Pada penggunaan paling ringan pula ia mampu bertahan selama 18 jam dengan tempoh skrin hidup hampir 5 jam. Kami difahamkan hayat bateri mampu bertahan lebih lama selepas kemas kini Lollipop kerana penggunaan Project Volta. Hayat bateri dilaporkan bertambah sebanyak 2 jam. Kami tidak dapat menguji kebenaran laporan ini kerana masih belum menerima Android 5.0. Jadi buat masa ini hayat bateri Moto G 2014 adalah mengecewakan berbanding versi tahun lalu.


Penutup

Apabila Moto G 2013 memasuki pasaran awal tahun ini kami cukup kagum dengan kemampuannya. Walalupun di atas kertas ia nampak seperti peranti kelas bawahan, kepantasan dan kelancarannya memalukan beberapa peranti kelas atas yang pernah kami gunakan. Penggunaan Android stock memastikan peranti ini tidak memerlukan “kuasa kuda” untuk berfungsi dengan baik. Membuka dan menukar aplikasi dapat dilakukan dengan cepat. Tiada animasi berlebihan yang menjengkelkan. Sungguhpun begitu kerana jumlah RAM yang kecil, aplikasi-aplikasi yang tidak digunakan akan ditutup dengan sendiri oleh peranti. Kemampuan multi tasking Moto G 2014 tidak sebaik peranti dengan jumlah RAM yang lebih besar.

Rekaannya tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan model tahun lepas. Hanya saiz dibesarkan sedikit tetapi peranti ini masih mudah digunakan dengan sebelah tangan. Panel belakangnya melengkung bagi memudahkan genggaman. Sangat selesa digunakan untuk masa yang lama cuma kami rasakan adalah lebih baik jika ianya bertekstur.

Kemampuan bateri tidak sebaik model tahun lalu. Hanya mampu bera

Motorola Moto G 2014 ialah sebuah peranti kelas permulaan yang baik. Jika anda bencikan sela masa dan mementingkan kelancaran ini bakal memenuhi keperluan anda. Ianya juga bakal menerima kemas kini Lollipop. Dengan harga jualan RM 688 sebuah, Moto G 2014 adalah sedikit mahal jika dibandingkan dengan pesaing dengan spesifikasi yang setanding. Kemasukan peranti dari China yang berlaku sekarang membuatkan harga Moto G tidak kompetitif. Tetapi apa yang pasti kebanyakan peranti dari pengeluar China tidak menerima kemasan Lollipop langsung. Jadi apa yang anda mahukan? Peranti dengan harga paling berbaloi ataupun peranti dengan harga sedikit mahal tetapi akan menerima kemasan sistem operasi terkini Android. Jika anda mahukan pilihan kedua, Moto G 2014 harus dimasukkan ke dalam senarai pendek anda.

PRO dan Kelebihan
  • Peranti yang pantas dan lancar sungguhpun mempunyai spesifikasi yang rendah kerana menggunakan Android stock.
  • Binaan yang kukuh sungguhpun diperbuat daripada plastik. Ianya selesa dipegang dan mudah digunakan dengan hanya sebelah tangan.
  • Akan menerima kemasan Android 5.0 Lollipop
  • Pembesar suara stereo pada bahagian hadapan.
KONTRA dan Kekurangan
  • Harga yang tidak lagi kompetitif di pasaran
  • Kamera tidak cukup tajam dan penghasilan warna yang sedikit kusam
  • Jangka hayat bateri tidak sebaik Moto G 2013.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd