Powerlace : Sistem Mengikat Tali Kasut Automatik

Powerlace : Sistem Mengikat Tali Kasut Automatik

Diterbitkan pada November 19, 2014 oleh .

powerlace-2

Ketika di bangku sekolah dahulu kami benci mengikat kasut. Oleh sebab itu zaman sekolah kami hanya membeli kasut Bata tanpa tapi. Ianya bukan sahaja lebih mudah digunakan malahan cepat dibasuh. Kalau beli kasut Bata BM 2000, tali perlu dibuka dan diberus sehingga bersih setiap hujung minggu. Lepas sudah kering tali kena dimasukkan semula ke dalam lubang. Sebagai seorang pelajar yang pemalas kami tidak nampak logik membeli kasut bertali. Oleh sebab itu selepas kami menonton Back to The Future 2 dan melihat sistem mengikat tali kasut automatik Nike Mag, kami mahukan ia menjadi realiti. Selepas 25 tahun barulah kasut fiksyen filem Michael J Fox ini menjadi realiti dengan wujudnya Powerlace. Kasut Powerlace akan terikat secara automatik apabila anda menyarungkannya.

Sistem Powerlace tidak menggunakan sebarang bateri, spring ataupun gear untuk menggerakkan mekanisma mengikat tali. Sebaliknya ia dilakukan dengan menggunakan berat badan pemakai sendiri. Pelapik pada bahagian tumit kasut akan bergerak ke bawah dan menarik tali kasut apabila kasut dipakai. Untuk membukanya pula terdapat tuil pada belakang kasut yang melepas sistem pengunci tali kasut. Kasut Powerlace sedang mengumpul dana untuk penghasilan secara meluas di Kickstarter. Tahun 2014 memang tahun yang menarik bagi peminat filem Back To The Future 2. Beberapa minggu yang lalu Hendo, prototaip Hoverboard dihasilkan dan hari ini kasut dengan pengikat tali automatik pula menjadi realiti. Apa yang kami nantikan untuk menjadikan 2014 tahun terbaik dalam sejarah peradaban dunia ialah mesin masa boleh terbang turut menjadi realiti.


TIPS & ULASAN