WhatsApp merupakan salah satu aplikasi permesejan yang digunakan secara meluas oleh pengguna seluruh dunia. Hari ini, mereka memperkenalkan fungsi penyulitan menyeluruh untuk perkhidmatan mereka, sekaligus menjadikan perbualan anda tidak boleh diakses oleh sebarang pihak ketiga.
Melalui kemaskini baru yang ditawarkan untuk pengguna Android, ia mengaktifkan sokongan penyulitan ini. Secara kasarnya, dengan perkara ini, mesej yang dihantar anda hanya boleh dibaca oleh penerima yang dituju sahaja, dan tiada sebarang pihak lain yang boleh membacanya – termasuk pihak WhatsApp sendiri.
WhatsApp menggunakan teknologi daripada Open Whisper Systems untuk menjayakan fungsi ini, sekaligus menjadikan perkhidmatan permesejan tersebut lebih selamat berbanding pelbagai perkhidmatan permesejan yang lain. Ia turut ditekankan yang mana berbeza dengan penyedia perkhidmatan lain, pihak WhatsApp tidak boleh membaca mesej anda walaupun mereka menerima permintaan dan arahan daripada pihak berkuasa disebabkan oleh penyulitan ini.
Buat masa ini, fungsi ini hanya ditawarkan untuk pengguna Android sahaja, dan tidak diketahui bilakah akan diaktifkan untuk pengguna iPhone dan platform lain.
- *Penyulitan = Penukaran data sensitif kepada bentuk kod sulit untuk membolehkan data dikirim dengan selamat tanpa difahami oleh pihak lain.