Meizu hari ini secara rasminya memperkenalkan peranti baru mereka, yang juga merupakan penaik-tarafan kepada MX4 sebelum ini, iaitu Meizu MX4 Pro. Peranti ini membawakan ketebalan sekitar 9.05mm, seberat 158g, dan hadir dalam pilihan warna kelabu, emas, dan perak.
Dari segi spesifikasi, Meizu MX4 Pro menggunakan skrin bersaiz 5.5-inci, dilengkapi dengan paparan 2K (2560×1536 pixel). Untuk pemprosesan, ia dilengkapi cip lapan teras Exynos 5430 dan GPU Mali-T628, memori 3GB RAM, dan dilengkapi bateri berkapasiti 3350mAh. Untuk rakaman gambar, ia menggunakan kamera 20.7-megapixel pada bahagian belakang, serta kamera hadapan 5-megapixel.
Seperti menjadi trend akhir-akhir ini, pihak Meizu turut mengintegrasikan sokongan pengimbas cap jari pada bahagian butang Home dihadpan, dan dikenali sebagai mTouch. Meizu mengatakan akan mengintegrasikan penggunaannya dengan PayPal dan juga WeChat pada awal tahun hadapan. Selain itu, pihak Meizu turut memberikan perhatian kepada sokongan audio, dan ia dilengkapi dengan cip khusus untuk menawarkan kualiti audio yang amat baik.
Meizu MX4 Pro akan dijual pada harga 2499 Yuan di China untuk versi 16GB. Ia tidak diketahui lagi sama ada pihak Meizu akan membawa masuk peranti ini ke pasaran tempatan ataupun tidak. Di Malaysia, Meizu menyasarkan untuk melancarkan peranti MX4 secara rasmi pada penghujung bulan ini.