Dropbox telah memperkenalkan aplikasi Carousel beberapa bulan yang lepas, memfokuskan kepada membuat salinan pendua gambar dan menyimpannya terus di storan awan. Ketika pengenalan, ia ditawarkan untuk Android dan iPhone, dan hari ini Dropbox memperluaskan penawarannya.
Carousel selain hanya membuat salinan di storan awan, ia turut menawarkan kemudahan berkongsi gambar dan memori bersama rakan lain, dan pada masa yang sama membolehkan gambar anda pada akaun rakan lain turut ditambah dan disimpan pada akaun anda dengan mudah. Perkara ini sekaligus menjadikan ia amat menarik untuk digunakan dalam berkongsi rakaman dari sesuatu acara dengan rakan-rakan dan ahli keluarga dengan lebih baik.
Melalui kemaskini yang dikeluarkan hari ini, aplikasi Carousel turut ditawarkan untuk pengguna iPad melalui paparan yang dioptimasikan untuk skrin tablet. Disamping itu, pihak pembangunnya turut menyediakan web khusus di Carousel.com untuk membolehkan pengguna menguruskan gambar dan memuat-naik gambar atau video menggunakannya.
Dropbox turut menambah penawaran untuk berkongsi gambar dari Carousel terus ke Instagram atau WhatsApp dengan mudah, selain turut mengatakan mereka akan turut hadir dengan versi yang dioptimasikan untuk skrin tablet Android tidak lama lagi.
- Layari : Carousel.com
- Muat-Turun Carousel untuk iPad