Carian
Intel : Pengecasan Tanpa-Wayar Untuk Pelbagai Jenis Peranti Akan Mula Popular Bermula 2015
November 21, 2014 Aman

Intel merupakan salah satu syarikat gergasi dalam pembangunan dan pengeluaran cip serta beberapa teknologi yang berkaitan dengannya. Berkongsi mengenai perkembangan semasa, Intel berkongsi mengenai arena teknologi tanpa-wayar yang telah mula diimplementasikan pada pelbagai peranti dan fungsi pada hari ini.

Intel APJ Future

Menjadi salah satu fokus utama dalam arena teknologi tanpa-wayar adalah sokongan pengecasan tanpa-wayar. Intel berkongsi mengatakan yang mana ia akan mula meningkat dalam penggunaan pelbagai jenis peranti, terdiri daripada telefon, tablet, laptop dan juga peranti boleh-pakai. Salah satu usaha dalam mempopularkannya, pihak Intel dan beberapa rakan kerjasama yang lain hadir dengan sebuah piawaian baru dinamakan sebagai Rezence.

Beberapa pengecas peranti tanpa-wayar sedia terdapat dipasaran pada hari ini untuk beberapa peranti, tetapi ia masih mempunyai kekurangannya tersendiri, termasuk memerlukan pengguna meletakkan peranti pada bahagian yang tepat, selain pemindahan tenaga yang amat sedikit dan berbeza mengikut lokasi ia diletakkan. Piawaian baru dinamakan Rezence ini dilihat ingin mengatasi perkara tersebut, dan dikatakan akan disesuaikan dengan pelbagai permukaan – termasuk pada meja, kenderaan, dan sebagainya. Piawaian ini juga dikatakan akan membolehkan pengguna mengecas bukan sahaja telefon, tetapi turut menyokong tablet, komputer riba, peranti boleh-pakai dan sebagainya. Piawaian Rezence ini menyokong pemindahan tenaga sehingga 50Watts pada jarak sehingga 5 sentimeter.

Menekankan piawaian baru ini bukan sahaja Intel, etapi ia turut dipopularkan oleh badan yang dinamakan A4WP. Piawaian baru ini sedia menerima sokongan pelbagai pihak, termasuk beberapa nama popular seperti Samsung, HTC, Asus, Qualcomm, Lenovo, Emirates, Acer, Panasonic, HP dan sebagainya. Intel turut berkongsi mengatakan dalam beberapa tahun, pelbagai kafe akan mengintegrasikan sokongan pengecasan tanpa-wayar pada meja dan sebagainya – yang mana dilihat lebih efisyen dan mesra pengguna berbanding penyediaan stesyen pengecas di beberapa bangunan pada hari ini. Intel sendiri memperlihatkan beberapa produk daripada mereka dengan fokus terhadap pengecas tanpa-wayar, dan salah satunya adalah Wireless Charging Bowl – membolehkan pengguna meletakkannya di rumah, dan apabila kembali dari kerja, boleh memasukkan telefon dan peranti boleh-pakai didalamnya untuk mengecas, tanpa perlu mencari wayar seperti hari ini.

Intel APJ Future

Selain daripada pengecas peranti tanpa-wayar, pihak Intel juga turut berkongsi beberapa teknologi lain dengan fokus terhadap penggunaan tanpa-wayar termasuk untuk paparan (Wireless Display melalui Intel WiDi), Wireless Docking untuk menghubungkan komputer riba atau tablet ke desktop, dan juga Wireless Data Sharing.

Komen