Cari @ Amanz

Pejam celik pejam celik perkhidmatan televisyen satelit berbayar Astro sudah masuk tahun ke-18. Sudah hampir dua dekad rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan TV berbayar ini kerana mereka menawarkan lebih banyak saluran berbanding TV biasa. Kami menjadi pelanggan Astro kerana tiada pilihan lain memandangkan mereka pemegang hak penyiaran bola sepak Liga Perdana Inggeris. Apabila sudah berkeluarga duduk di kedai mamak pada hujung minggu untuk menonton sehingga awal pagi adalah sangat tidak manis dipandang. Kami yakin kami bukan satu-satunya individu yang melanggan menggunakan alasan ini. Harga langganan Astro bukanlah murah dan kerap kali dinaikkan.

Berita buruk pagi ini ialah bermula 1 Disember, harga langganan pakej HD akan dinaikkan sebanyak RM 5 sebulan. Kenaikan harga ini pastinya menaikkan kemarahan pengguna kerana harga langganan baru sahaja dinaikkan November tahun lalu. Tahun lalu pakej Sports dinaikkan sebanyak RM 6 manakala pakej Family pula dinaikkan sebanyak RM 2.

Di rumah kami hanya menonton saluran sukan, rancangan memasak dan kartun. Jika kenaikan harga ini berlaku kerana penambahan saluran HD “percuma” yang tidak kami tonton kami rasakan adalah harga baru ini adalah tidak wajar. Sudah tiba masanya pihak berkuasa lebih tegas dengan pihak Astro dalam berkaitan kenaikkan harga. Ketiadaan pesaing membuatkan mereka memonopoli pasaran dengan selesa. Jun lalu siaran Piala Dunia 2014 pada saluran TV tempatan dilarang dari disiarkan kepada pelanggan HyppTV. Ini adalah kerana mereka pemegang hak penyiaran tunggal di Malaysia untuknya. Buat masa ini ramai masih mampu membayar pakej yang dilanggan. Tetapi jika kenaikan harga tahunan berlaku, tidak mustahil untuk ramai yang nekad menghentikan langganan selepas tamat tempoh kontrak. Tidak perlu mengeluh lagi akibat harga naik dan umum diketahui menonton Liga Perdana Inggeris bukanlah keperluan hidup seorang manusia.

Dengan kenaikkan harga baru ini, langganan saluran HD akan menjadi daripada RM20 kepada RM25. Astro turut hadir dengan lapan saluran HD baru bersama-sama perubahan harga ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd