Kenaikan harga minyak sangat menyusahkan warga kota yang lebih banyak menghabiskan minyak di dalam kesesakan lalulintas dari bergerak di dalam kenderaan.Ini menjurus kepada penggunaan kenderaan awam yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Di kawasan perumahan kami, tempat kereta KTM Komuter yang dahulunya kosong kini sudah penuh menjelang pukul 8 pagi. Kami menaiki kenderaan awam hampir setiap hari dan kerisauan nombor satu kami ialah beg galas kami diseluk oleh perompak. Terdapat pelbagai peranti elektronik bernilai ribuan ringgit yang kami bawa di dalamnya. Sudah menjadi kebiasaan apabila memasuki kenderaan awam beg akan dipusingkan ke hadapan bagi menyukarkan zip dibuka. Sejak bahu kami patah, menanggalkan beg untuk memusingkannya ke hadapan amat menyakitkan. Kerap kami terfikir jika ada beg yang bahagian simpanannya boleh diputarkan ke hadapan tanpa ditanggalkan terlebih dahulu.
Wolffepack ialah beg sandang yang menjadikan impian kami sebuah realiti. Bahagian simpanan barang beg sandang ini boleh dicabut dan diputarkan ke hadapan dengan mudah. Tali beg akan kekal disandang pemakai cuma ruang simpanan boleh ditanggalkan. Apabila ingin kembali ke posisi asal, pemakai hanya perlu menarik tali yang terletak di dalam tali beg, Tidak perlu risau tali ini penyambung ini akan putus kerana ia diperbuat daripada Dyneema yang mampu menanggung berat maksimum 300 kilogram. Dana untuk projek ini sedang dikumpul di Kickstarter dengan harga jualan bermula dari £85 sebuah.