DuBike – Basikal Pintar Daripada Baidu Dengan Pelbagai Sensor Terbina

DuBike – Basikal Pintar Daripada Baidu Dengan Pelbagai Sensor Terbina

Diterbitkan pada November 23, 2014 oleh .

Baidu merupakan salah satu syarikat gergasi internet di China yang menawarkan enjin carian, serta beberapa perkhidmatan lain. Pada tahun ini, mereka turut hadir dengan beberapa peranti pintar mereka, seperti penyepit makanan pintar. Selain daripadanya, mereka turut telah mengumumkan akan hadir dengan sebuah basikal pintar – yang mana menjadi tarikan ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

Baidu Bike

Baidu Bike

Kini, Baidu telah pun menerbitkan sebuah halaman khusus untuk basikal pintar yang dikenali dengan nama DuBike, memperlihatkan secara kasar rekaan dan fungsi yang akan dibawakan olehnya kelak. Melalui DuBike ini, ia dilihat memfokuskan penggunaan pelbagai jenis sensor untuk memudahkan pengguna mengetahui tahap kecergasan dan kesihatan mereka ketika menunggang basikal. Selain kecergasan, Baidu Bike turut dilengkapi dengan sensor untuk memantau bagaimana anda menunggang basikal, disamping beberapa ciri-ciri keselamatan seperti lampu hadapan dan juga belakang.

Baidu Bike

Baidu Bike

Sokongan GPS turut diintegrasikan pada basikal pintar ini untuk tujuan navigasi, selain turut membolehkan pengguna memantau lokasi semasa basikal tersebut untuk mengelakkan kecurian. Tiada sebarang pengecasan yang diperlukan untuk mengecas pelbagai komponen pada basikal ini, memandangkan ia akan mengecas sendiri ketika pengguna menunggangnya.

Baidu turut menyediakan sebuah aplikasi khusus untuk basikal pintar ini untuk membolehkan pengguna mengakses beberapa data berkaitan, disamping turut menggunakannya untuk tujuan sosial – seperti berkongsi destinasi dan sebagainya.

Basikal pintar daripada Baidu ini dijangka akan dipasarkan tidak lama lagi – berkemungkinan seawal penghujung tahun ini.


TIPS & ULASAN