Cari @ Amanz

Pada hari ini, acara D3 (Define, Design, Develop) telah pun tamat bagi siri ketiga untuk tahun ini. Acara hackathon yang bermula pada pagi Sabtu 22 November dan tamat petang tadi telah memperlihatkan lebih dari 20 projek disiapkan berdasarkan tema Connected Communities, Mobile Government & Media Entertainment.

Bagi kategori Connected Communities, projek Fund-A-School menjadi johan untuknya membawakan projek sumber dana terbuka bagi membantu pembiayaan sekolah-sekolah yang memerlukan derma. Menerusi aplikasi dan laman web mereka, guru sekolah boleh mengusulkan sesuatu seperti mencari dana bagi kegiatan seperti lawatan sambil belajar, penambahbaikan bangunan sekolah ataupun kutipan derma kilat.

Fund-A-School-D3

Projek My Passport pula memenangi kategori Mobile Government yang mana pembangunnya telah menghasilkan aplikasi mudah-alih yang memudahkan pengguna untuk mengesan data pada passport bagi tujuan pembaharuan. Menariknya aplikasi tersebut turut menyertakan fungsi kamera yang mengikut format gambar Imigresen Malaysia, sekaligus memudahkan pembaharuan passport.

My-Passport-D3

Projek Idea Mate pula dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Media & Entertainment. Aplikasi Idea Mate dihasilkan bertujuan memberikan kata-kata ucapan yang lebih peribadi melalui video yang dihantar serta lagu melalui aplikasi mereka.

Idea-Mate-D3

Kesemua pemenang utama menerima hadiah berupa wang tunai RM20,000 dan pasukan Idea Mate telah menerima hadiah berupa lawatan ke Sydney, Australia. Acara hasil kerjasama SKMM, Media Prima, dan TM ini dilihat sebagai salah satu inisiatif kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan bagi menggalakkan industri startup serta pembangunan aplikasi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd