Alpha – Steambox Pertama Alienware Mula Dijual Di Amerika Syarikat

Alpha – Steambox Pertama Alienware Mula Dijual Di Amerika Syarikat

Diterbitkan pada November 24, 2014 oleh .

Alienware-Alpha-1

Perbalahan di antara penggemar permainan konsol dan bangsa terpilih PC sudah berlarutan selama puluhan tahun. Alasan paling kerap diberikan oleh pengguna konsol tentang kehebatan platform pilihan mereka ialah ianya lebih murah dan mudah digunakan di ruang tamu. Pengguna PC mungkin mempunyai grafik yang lebih berkualiti tetapi PC terperap di dalam bilik. Ini adalah alasan yang tidak boleh lagi digunapakai sejak wujudnya Steam Box, PC yang mempunyai rekaan seperti sebuah konsol. Alienware sudah mula menjual Alpha, Steam Box keluaran mereka minggu lalu di Amerika Syarikat. Terdapat empat versi Alpha boleh dimiliki. Alpha paling asas diperkasakan pemproses 2.9GHz Intel Core i3, 4 GB RAM, dan muatan dalaman 500GB. Dua lagi Alpha kelas pertengahan mempunyai RAM sebesar 8 GB,muatan dalaman 1 Terabyte dengan pilihan pemproses Core i3 dan Core i5. Alpha dengan spesifikasi tertinggi pula diperkasakan pemproses 2.9GHz Core i7, 8 GB RAM dan muatan dalaman 2 Terabyte. Kesemua Alpha dilengkapi GPU buatan khas Nvidia Maxwell dengan RAM GDDR5 2 GB.

Harga jualan ialah diantara  $549 – $899. sebuah. Alpha mampu memainkan 600 permainan komputer yang dimuat turun terus ke dalamnya. Ini adalah jumlah permainan yang sangat besar dan sukar ditandingi konsol terkini seperti PlayStation 4 dan Xbox One. Kini satu-satunya alasan yang masih boleh digunakan oleh penggemar permainan konsol ialah konsol mereka masih jauh lebih murah berbanding Steam Box yang ada di pasaran. Kami mahu memiliki Steam Box seperti Alpha tetapi keperluan memuat turun setiap permainan melalui perkhidmatan internet yang sedia ada memerlukan kesabaran yang tinggi.

Alienware-Alpha-2


TIPS & ULASAN