Carian
Penstrukturan Semula Samsung Mungkin Mengabungkan Bahagian Peranti Mudah-Alih Dan Perkakasan Rumah
November 24, 2014 Aman

Pendapatan tahunan untuk Samsung Electronics boleh dikatakan agak berkurangan sedikit pada tahun ini, selain turut memberikan kesan terhadap pegangan pasaran dan juga harga saham mereka. Kini, lanjutan daripadanya, selain mengurangkan portfolio peranti, Samsung juga dilihat ingin menstruktur semula syarikat mereka.

Menurut laporan awal daripada WSJ, Samsung berkemungkinan akan mengubah tampuk pengurusan bahagian peranti mudah-alih, menggantikan J.K. Shin yang mengetuainya pada hari ini.

Ia dikatakan berkemungkinan Samsung akan memilih ketua bahagian televisyen dan juga perkakasan rumah untuk mengetuai bahagian peranti mudah-alih. Selain mengubah cara pengurusan, perkara ini juga dikatakan akan memudahkan lagi proses pihak Samsung untuk hadir dengan penawaran rumah pintar, salah satu industri yang kian mendapat perhatian akhir-akhir ini.

Apa pun, buat masa ini, perkara mengenai penstrukturan semula ini masih tidak disahkan oleh Samsung, dan ia dikatakan masih pada peringkat perbincangan awal. Terdapat juga kemungkinan yang mana perkara ini tidak akan berlaku, dan Samsung terus beroperasi seperti biasa pada tahun akan datang.

Komen