Carian
B1-0 dan N1-C : Robot Pembancuh Minuman
November 25, 2014 Effi Saharudin

Penggunaan robot di dalam sektor industri bermula pada dekat 70an di dalam industri pembinaan kenderaan. Sejak dari hari itu penggunaan robot semakin meluas keran ianya lebih pantas dan bekerja dengan lebih tepat berbanding manusia. Jepun menjadi pelopor teknologi ini kerana masalah kekurangan buruh memaksa mereka menggunakan robot dengan lebih meluas. Kini penggunaan robot semakin meluas dan terkini wujud pula robot pembancuh minuman di atas kapal layar mewah Quantum of The Seas. Kapal ini adalah kapal layar paling mewah dan pintar di atas lautan sekarang. Jadi sesuai dengan imej pintarnya, robot pembancuh minuman digunakan di kelab malam kapal ini.

BIONIC

Dua buah robot yang diberi nama B1-0 dan N1-C akan membancuh minuman koktel yang dipesan oleh pelanggan bar secara automatik. Pesanan dilakukan dengan aplikasi yang diletakkan pada setiap meja. Pelanggan juga boleh memesan kombinasi minuman tersendiri mereka dan robot penjaga bar ini akan menghasilkannya dengan segera. Memang nampak seperti penggunaan teknologi yang tak berpadanan dengan fungsinya. Tetapi kalau ada robot sebegini di restoran Malaysia bagus juga. Kami kerap dilanda masalah memesan minuman di restoran mamak. Yang diminta teh o kurang manis dan yang diberikan ialah teh o diabetes. Penggunaan robot juga akan mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja yang diimport dari negara luar. Ini semua impian yang kami tahu tak akan menjadi kenyataan di Malaysia. Tetapi apa salahnya mengimpikan utopia semua pesanan anda di restoran Malaysia adalah tepat dan pantas.

 

 

Komen