Carian
Samsung Eyecan+ : Tetikus Kawalan Mata Untuk OKU
November 25, 2014 Effi Saharudin

Mengawal komputer dan alat peranti pintar menggunakan tangan ialah nikmat yang sering kita lupakan sehinggalah ianya ditarik oleh yang maha esa. Kesemua peranti di pasaran memerlukan tangan untuk melakukan input. Sekiranya anda kudung ataupun lumpuh pilihan peranti yang boleh anda gunakan serta merta menjadi terhad. Bagi memperkasakan golongan OKU dan memudahkan membolehkan mereka menggunakan peranti seperti individu cukup sifat, Samsung mencipta Eyecan+. Ianya kesinambungan kepada sistem Eyecan yang diperkenalkan pada tahun 2012. Eyecan+ berfungsi sebagai tetikus yang dikawal menggunakan mata pengguna OKU. Ia merupakan sebuah kotak kamera yang diletakkan di bawah skrin komputer.

 Eyecan+-1

Perisian Eyecan+ mampu mengesan pergerakan mata pengguna dan menukarkannya kepada pergerakan kursor pada skrin komputer. Terdapat 18 pratetapan yang diletakkan pada antaramuka Eyecan+. Pratetapan membolehkan pengguna melakukan arahan biasa seperti menutup program, mencetak dokumen dan menyalin teks. Pengguna hanya perlu melihat pratatepan yang terpampang dan mengedipkan mata bagi menggantikan double click. Kesemua pratetapan boleh diprogramkan semula mengikut keperluan individu berbeza.  Bagi penggunaan optimum pengguna perlu berada 70 sentimeter dari pengesan Eyecan+. Bagi memperhalusi lagi sistem Eyecan+, Samsung akan mendermakan beberapa unit tetikus kawalan mata ini kepada badan-badan amal warga OKU Korea Selatan.

Ini sebuah inovasi yang dapat memperbaiki kualiti hidup warga OKU. Kami yakin teknologi Eyecan+ bukan sahaja dapat membantu golongan OKU tetapi kita semua. Fungsi Smart Scroll yang ada pada peranti Samsung dilaporkan menggunakan teknologi Eyecan yang asal. Mungkin di masa hadapan, Samsung Galaxy S7 membenarkan anda menaip dengan hanya melihat papan kekunci. Boleh menaip sambil makan dan skrin tidak akan dikotori minyak

Eyecan+-2

Komen