Cari @ Amanz

Assassin’s Creed Rogue ialah permainan komputer ke-20 di dalam siri Assassin’s Creed. Ia dilancarkan serentak dengan Unity yang hanya muncul pada konsol generasi terkini dan juga PC. Selepas  7 tahun mengikuti sejarah perbalahan gerombolan pembunuh upahan dan Templar. Rogue melakukan perubahan paling besar dengan membenarkan anda bermain di pihak Templar secara menyeluruh. Di dalam AC III anda dibenarkan mengawal Haytham Kenway, seorang Templar untuk beberapa misi awal. Di dalam Rogue anda bermain sebagai Shay Patrick Cormac, seorang ahli persaudaraan pembunuh upahan yang berpaling tadah menyertai Templar.

Jalan Cerita

Rogue membenarkan kami bermain sebagai seorang ahli Templar adalah pembaharuan yang dialu-alukan. Seperti kami katakan pada awal tadi kini sudah terdapat 20 permainan Assassin’s Creed sejak 2007.  Seronok juga dapat bermain sebagai seorang Templar. Apakah yang membezakan Templar dari pembunuh upahan? Mengapa mereka bertegas mahu mengumpul Pieces of Eden dan adakah mereka benar-benar jahat. Ini adalah persoalan yang cuba dijawab di dalam Rogue.

AC-Rogue-SS5Dari segi plot cerita kami rasakan ianya adalah lemah jika dibandingkan dengan jalan cerita Ezio Auditori. Kami berharap ada kesinambungan di antara AC IV Black Flag dan Rogue. Kami ingin mengetahui bagaimana anak kepada Edward Kenway boleh berubah menjadi seorang Templar. Watak Shay yang diperkenalkan pada pendapat kami adalah tidak menarik. Perubahan beliau dari seorang pembunuh upahan menjadi Templar juga adalah tidak meyakinkan. Kurang logik seorang bekas pembunuh upahan dengan mudah diterima memasuki Templar tanpa kesetiaannya dicabar oleh ahli Templar sedia ada. Jalan cerita juga agak linear tanpa plot twist menarik seperti identiti sebenar Bart Roberts di dalam Black Flag. Bagi mengurangkan kekeliruan anda perlu bermain  AC III dan Black Flag kerana ketiga-tiga permainan ini berkongsi beberapa watak utama. Kami rasakan jalan cerita kali ini kurang menyerlah dan watak-watak utama tidak dikembangkan dengan sempurna. Akibatnya secara keseluruhan permainan ini adalah sedikit membosankan.

AC-Rogue-SS6Bosan kerana walaupun bermain sebagai seorang Templar tiada senjata istimewa Templar diperkenalkan. Pada Revelations pisau cangkuk dan bom diperkenalkan. Pada AC II pisau siluman berganda diperkenalkan. Anda boleh menggunakan penembak bom tangan dan senapang ubat pelali di dalam Rogue. Tetapi fungsinya sama sahaja seperti bom tangan Ezio dan sumpit Connor . Ubisoft seperti malas memperkenalkan senjata baru untuk seorang Templar. Perbezaan yang wujud hanya dilakukan pada cara permainan. Jika dulu anda boleh melakukan misi kontrak pembunuh upahan, kini adan boleh membunuh pembunuh upahan bagi mempertahankan mangsa. Eagle Vision digantikan dengan Templar Vision yang membolehkan anda melihat para pembunuh upahan yang menyorok di sekitar anda. Kerana anda seorang pembelot pembunuh-pembunuh upahan akan sentiasa cuba melakukan serang hendap terhadap Shay.

Cerita di “dunia sebenar” memang sejak dari dahulu kurang menyerlah. Di dalam Rogue ianya sangat minimum dan hanya terhad kepada misi memperbaiki komputer rosak, mengumpul tablet dan mencari apakah rahsia di sebalik Abstergo Entertaintment. Kesemuanya adalah fetch quest yang tidak bermakna. Ramai peminat permainan AC mengeluh watak Desmond Miles adalah membosankan. Tetapi sejak kematian beliau di dalam AC III misi di dunia di luar Animus semakin tidak bermakna. Berita baik disini ialah anda hanya keluar dari Animus untuk pergi ke dunia sebenar sebanyak empat kali sahaja.

Dunia Assassin’s Creed Rogue

AC-Rogue-SS2Jatuh dan bangun sebuah permainan dunia terbuka terletak kepada rekaan dan saiz peta dunianya. Saiz peta dunia Rogue kami rasakan lebih besar berbanding Black Flag dan terbahagi kepada 3 peta utama iaitu Atlantik Utara, River Valley dan New York.  Terdapat puluhan penempatan yang boleh dilawati pada peta-peta ini. Kebanyakkan masa dihabiskan di Atlantik Utara kerana ianya peta yang lebih menarik. Kegiatan menombak haiwan laut seperti ikan paus masih dikekalkan tetapi misi menyelam ke dalam kapal karam kini tiada. Air laut Atlantik Utara yang sejuk akan mengurangkan nyawa Shay sekiranya beliau berenang. Selain misi utama terdapat misi tambahan seperti mengumpul artifak orang asli, Viking dan Templar.

Saiz peta mungkin lebih besar tetapi penggunaannya di dalam permainan adalah minimum. Penempatan yang ada hanya sekadar menjadi kawasan untuk menyorokkan serpihan Animus dan kotak harta karun. Sepanjang permainan hanya lebih kurang 40% kawasan peta perlu diterokai untuk meneruskan plot permainan. Di kawasan River Valley hanya bahagian kanan dan sebelah atas peta perlu diterokai. Nampak seperti Ubisoft menghasilkan 3 peta dunia yang besar untuk memberikan ilusi permainan ini besar sedangkan 1 peta dunia sudah memandai. Grand Theft Auto V mempunyai peta yang besar tetapi Rockstar bijak memaksa pemain bergerak ke seluruh pelosok peta untuk menamatkan jalan cerita. Setiap ceruk mempunyai misi tambahan yang menarik. Perkara yang sama tidak boleh dikatakan mengenai penggunaan peta Rogue.

Kegiatan melanun juga masih boleh dilakukan dengan pengenalan senjata yang lebih moden. Kapal Morrigan milik Shay boleh dinaik taraf sama seperti Jackdaw di dalam Black Flag. Melanun kapal lebih mudah di dalam Rogue kerana wujudnya meriam puckle yang boleh melepaskan 30 das tembakan. Merampas sebuah kapal man of war lebih pantas kerana wujudnya meriam berputar. Di dalam Black Flag anda harus membunuh 20 anak kapal dengan berlawan satu lawan satu. Kini hanya tembak anak kapal menggunakan meriam membunuh bagi mempercepatkan proses merampas kapal.

Mod Lagendary Ships kini menjadi Lagendary Battles. Ianya jauh lebih sukar dari mod di dalam Black Flag kerana anda menentang lebih dari satu kapal serentak. Di dalam sebuah misi kami perlu menentang sebuah man of war milik Perancis yang dikawal 10 kapal api dan dua frigate pengiring. Walaupun kapal milik Shay telah kami berikan naik taraf maksimum kami masih gagal mengalahkan empat misi Lagendary Battles yang ada.

AC-Rogue-Side-Mission

Kawalan

Sejak dari awal siri Assassin’s Creed mempunyai masalah kawalan. Anda mahu berjalan tetapi watak pergi memanjat tapa disuruh. Anda mahu memanjat tetapi watak melompat turun dari bumbung secara rawak. Selepas 20 versi masalah yang sudah wujud sejak zaman Altair ibnu La’Ahad masih lagi tidak dapat diselesaikan. Sebagai pemain veteran kami sudah membiasakan diri dengan masalah kawalan ini jadi ianya tidak lagi mendatangkan kemarahan. Sistem parkour baru yang diperkenalkan di Unity tidak digunakan disini. Kami tidak tahu mengapa tetapi mungkin atas sebab enjin yang berbeza. Kawalan kapal juga masih lagi sedikit bermasalah. Tetapi seperti masalah kawalan Shay, kami sudah membiasakan diri dengan masalah ini sejak AC III.

Grafik

Kualiti grafik Rogue memang tidak setanding dengan Unity. Kualiti tekstur, pencahayaan dan bayang-bayang memang sudah menampakkan usianya. Yang mengejutkan ialah kualiti model 3D watak-watak utama Rogue tidak secantik dan terperinci seperti di dalam Black Flag. Ini sukar diterima kerana Rogue menggunakan enjin grafik yang sama. Rekaan watak Shay terlalu generic. Begitu juga dengan watak-watak lain. Ia mengingatkan kami kepada watak default yang boleh dipilih di dalam mod multiplayer Black Flag. Mungkin pihak Ubisoft tidak mempunyai masa yang cukup untuk mencipta watak yang lebih baik. Ura-ura penghasilan Rogue mula muncul Mac sebelum disahkan pada bulan Ogos. Jadi dalam masa 8 bulan permainan ini perlu dihasilkan.

Sungguhpun grafik kurang menarik dan sudah nampak ketinggalan, kami harus memuji Ubisoft kerana permainan ini tidak mempunyai sebarang pepijat yang kronik. Umum diketahui AC Unity mempunyai masalah pepijat grafik yang kronik. Sepanjang permainan kami hanya menemui satu pepijat di mana watak yang telah dibunuh tergantung di udara. Tetapi ini adalah pepijat kecil yang tidak merosakkan keseronokan bermain.

AC-Rogue-SS3

Audio

Audio masih lagi kekuatan permainan Assassin’s Creed. Ia membuatkan pemain percaya mereka tinggal di kurun ke-18. Ledakan meriam, mortar dan bunyi kapal pecah selepas diserang lanun juga sangat hidup. Begitu juga dengan “bisikan Templar” yang menenggelami bunyi-bunyi lain apabila Shay menghampiri pembunuh upahan yang sedang menyorok. Tiada

“Selamat Tinggal Konsol Generasi Lama”

AC-Rogue-SS4Rogue kami difahamkan ialah permainan AC terakhir untuk konsol PS3 dam Xbox 360. Ubisoft akan menumpukan perhatian mereka pada PC dan konsol generasi terkini. Apabila bermain Rogue kami menyedari Rogue banyak kehilangan fungsi jika dibandingkan dengan Unity dan juga Black Flag. Mod multiplayer langsung tidak ada. Anda gemarkan fungsi cabaran komuniti di dalam Black Flag? Seperti mod multiplayer mod cabaran komuniti juga tiada. Kami cukup gemar melakukan aktiviti cabaran komuniti di dalam Black Flag. Sebagai contoh tahun lalu ada cabaran membunuh 100 000 orang dalam masa 48 jam. Kami menyumbang 1000 pembunuhan kepada cabaran ini semata-mata untuk mendapatkan senjata unik. Dengan ketiadaan fungsi multiplayer dan cabaran komuniti permainan ini terasa kurang lengkap. Sungguhpun begitu fungsi leaderboards untuk melihat siapakah paling banyak membunuh, paling kaya dan paling banyak melakukan aktiviti lanun masih ada. Sekurang-kurangnya masih ada lagi cara untuk menunjukkan kepada teman-teman siapakah yang paling hebat.

Sokongan companion app  juga tiada. Mungkin ada di antara anda yang tidak gemarkan penggunaan companion app dengan permainan konsol anda tetapi kami cukup menggemari penggunaannya di dalam Black Flag. Rasanya bukan sukar untuk melakukan pemprograman semula aplikasi tahun lalu dengan aset dari Rogue. Ubisoft juga tidak mengumumkan sebarang DLC untuk Rogue.

Kesimpulan

Kami membeli dan menghabiskan hampir 50 jam bermain Rogue kerana kami mahu mengikuti kesinambungan cerita Assassin;s Creed. Premis bermain sebagai pihak Templar juga menjadi antara penyebab kami membelinya pada hari pertama jualan. Dukacita dimaklumkan sekiranya adan adalah peminat tegar siri Assassin’s Creed , Rogue ialah permainan yang kurang memuaskan berbanding Black Flag.

Kesinambungan cerita adalah terhad. Bermain sebagai Shay Patrick Cormac sebagai seorang Templar tiada bezanya dengan seorang pembunuh upahan. Kesinambungan cerita di “dunia sebenar” Abstergo Entertaintment juga mengelirukan dan tergantung. Rogue hanyalah permainan yang dihasilkan bagi membuatkan anda mahu bermain Assassin’s Creed Unity kerana jalan cerita yang bertindan pada penghujung permainan.

Ketiadaan mod multiplayer membuatkan permainan ini cacat jika dibandingkan dengan permainan lain di dalam siri Assassin Creed.

Akhir kata Assassin’s Creed Rogue ialah jambatan yang sepatutnya menyambungkan AC III dan Black Flag. Jalan cerita bercelaru, tidak masuk akal dan terlalu pendek. Belilah permainan ini sekiranya anda mahu menghabiskan masa ketika kebosanan. Jika anda mahu mengikuti sambungan cerita dari Black Flag kami sarankan anda membaca laman Wikipedia permainan ini sahaja. Anda jimat hampir RM200 dan tidak perlu menghabiskan 10 jam untuk mengetahui jalan cerita penuh.

Soalan cepu emas hari ini ialah “yang mana satukah lebih teruk? AC III ataupun Rogue?”. Berita baik di sini ialah Rogue masih lebih menarik dari AC III tetapi tidak sebagus Black Flag dan jauh di belakang Brotherhood.

Skor-Assasins-Creed-Rogue-PS3.-2

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd