Tenaga Nasional Menguji Sistem Meter Pintar – Membolehkan Pengguna Memantau Penggunaan Elektrik

Tenaga Nasional Menguji Sistem Meter Pintar – Membolehkan Pengguna Memantau Penggunaan Elektrik

Diterbitkan pada November 27, 2014 oleh .

Tenaga Nasional atau turut dikenali sebagai TNB merupakan penyedia utiliti elektrik di Malaysia, dan baru-baru ini mereka telah memulakan ujian untuk sistem meter pintar di Melaka. Ujian masih pada peringkat awal, dan TNB dilihat ingin mendapatkan lebih banyak maklumbalas sebelum memperluaskannya sekitar tahun 2016 kelak.

Meter Pintar TNB

Melalui penggunaan sistem meter pintar ini, pengguna boleh memantau penggunaan elektrik mereka dalam bentuk masa-nyata, sekaligus menyemak sekiranya terdapat kebocoran ataupun dicuri leh pihak tidak bertanggungjawab.

Disamping itu, sistem ini juga akan membolehkan TNB untuk memotong sambungan elektrik ke sesuatu rumah dengan pantas, tanpa perlu menghantar pekerja mereka ke rumah sekiranya seseorang pengguna tidak membayar bil – lebih kurang seperti yang diimplementasikan oleh syarikat telekomunikasi. Selain itu, TNB juga dilihat dapat menjimatkan kos untuk menghantar pekerja bagi membaca bil di rumah seperti dilakukan pada hari ini.

Apa pun, untuk pengguna pula, mereka hanya boleh memantau penggunaan elektrik mereka melalui peranti yang terpasang dirumah sahaja, dan tiada lagi sokongan integrasi dengan telefon pintar buat masa ini. TNB mengatakan yang mana melaluinya pengguna boleh mengetahui berapakah harga kos yang terlibat dalam penggunaan peralatan elektrik dengan lebih tepat, seperti berapakah caj untuk penggunaan penghawa dingin dan sebagainya.

Pengguna juga turut dikatakan akan menerima bil dengan lebih maklumat berkenaan penggunaan mereka dengan implementasi sistem ini kelak.

Selain Melaka, Tenaga Nasional dijangka akan memperluaskan ujian awal mereka ke Putrajaya tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN