Beberapa parti politik di Malaysia, seperti Barisan Nasional, PKR, Pas dan sebagainya sedia mempunyai aplikasi rasmi mereka, dan terkini UMNO turut melancarkan aplikasi rasmi mereka untuk pengguna Android, tetapi membawakan lebih banyak ciri-ciri interaktif berbanding aplikasi daripada parti politik yang lain.
Aplikasi ini dikhususkan kepada ahli UMNO yang berdaftar sahaja. Untuk menggunakannya, anda perlu menggunakan nombor kad pengenalan yang berdaftar dengan UMNO, dan menggunakan nombor telefon. Sebuah kod khusus akan dihantar untuk pengguna log masuk ke aplikasi berkenaan.
Melalui aplikasi ini, pengguna boleh mengakses beberapa info semasa berkaitan dengan UMNO, melihat direktori Majlis Tertinggi UMNO, serta mengikuti pengumuman terbaru daripada UMNO. Selain itu, aplikasi ini turut dilengkapi dengan beberapa ciri-ciri interaktif, termasuk membolehkan ahli berinteraksi dengan ahli UMNO lain melalui sokongan permesejan terbina, dan juga menggunakan aplikasi yang sama untuk merakamkan gambar selfie. Beberapa permainan ringkas turut disediakan, termasuk permainan berbentuk kuiz.
Secara kasar dari segi rekaan, ia boleh dikatakan agak kemas berbanding beberapa aplikasi lain. Namun, penggunaan ikon pada skrin utama masih memberikan efek yang kurang selari dengan rekaan keseluruhan aplikasi berkenaan.
Sekiranya anda ahli UMNO, anda boleh memuat-turun aplikasi ini yang ditawarkan untuk Android dan iPhone hari ini secara percuma.
- Muat-Turun AIU Untuk Android
- Muat-Turun AIU Untuk iPhone