Semasa kami masih kanak-kanak, tabung duit Kelab Kancil Bank Bumiputera adalah tabung yang paling diidamkan. Setiap kali duit dimasukkan ke dalam tabung ini, lagu Bank Bumiputera akan berkumandang. Mengikut standard zaman sekarang tabung Kelab Kancil ini langsung tidak menarik dan kuno. Tetapi pada pertengahan 80an ini adalah tabung paling pintar yang boleh anda miliki. Kanak-kanak zaman sekarang perlu disogok dengan peranti pintar bagi melakukan sesuatu perkara. Oleh sebab itulah kami rasakan tabung duit pintar Porkfolio ini dicipta. Porfolio ialah piggy bank untuk generasi pintar. Ia boleh mengira dan menjejak jumlah duit siling yang telah anda masukkan ke dalamnya. Setiap kali duit dimasukkan hidung tabung ini akan menyala. Selain mampu memberitahu jumlah wang yang terkumpul, Porkfolio juga mempunyai pengesan pergerakan dan kecurian. Apabila ianya digerakkan dari kedudukan ataupun dibuka ia akan menghantar notifikasi kepada telefon pintar anda. Dua bateri AA diperlukan bagi mengusai sistem WiFi dan giroscope terbina Porkfolio. Kami sudah dewasa tetapi tabung pintar ini ingin kami miliki. Buat masa ini Porkfolio hanya menyokong peranti IOS dan Android.
Sedikit fakta menarik. Dalam bahasa Indonesia tabung duit dipanggil celengan. Celeng ialah khinzir dalam bahasa Jawa. Tabung duit terakota berbentuk khinzir sudah digunakan sejak zaman empayar Majapahit. Di Muzium Nasional Indonesia anda boleh melihat celengan dari kurun ke-15 yang dijumpai di Jawa. Terma piggy bank hanya mula digunakan di dalam bahasa Inggeris pada kurun ke-18. Pada waktu tersebut adalah kebiasaan untuk menyimpan wang di dalam bekas tanah liat yang dipanggil pig. Lama kelamaan bekas tanah liat menyimpan duit ini mula dibentuk untuk kelihatan seperti seekor khinzir. Jadi ketahuilah tabung berbentuk khinzir ini bukan ciptaan barat tetapi ciptaan bangsa Jawa.