Cari @ Amanz

Penggunaan data pada peranti mudah-alih merupakan salah satu perkara yang menjadi perhatian ramai pengguna, apatah lagi dengan kuota yang terhad untuk beberapa pakej talian telekomunikasi, disamping terdapat beberapa yang mengenakan caj berasaskan PPU untuknya.

Untuk menjimatkan dan menguruskan penggunaan data, terdapat beberapa kaedah ringkas – yang mana walaupun tidak memberikan impak yang tinggi, ia mungkin membantu anda dalam menjimatkan sedikit penggunaan berbanding kebiasaan.

Menguruskan Penggunaan Data

Penggunaan Data

Pada peranti Android (bermula Android 4.0), pihak Google telah menyertakan fungsi memantau penggunaan data yang hadir terbina pada halaman tetapan. Menggunakannya, anda boleh menetapkan berapakah kuota bulanan yang ditawarkan talian telekomunikasi anda, selain turut menetapkan notifikasi amaran apabila penggunaan anda menghampiri sekitar had kuota.

Data RestrictMemandangkan ia memantau penggunaan data pada talian mudah-alih, ia memberikan statistik yang agak tepat. Fungsi ini tidak memantau penggunaan data WiFi anda, jadi anda masih boleh menikmati pelbagai kandungan menggunakan WiFi, dan tidak perlu risau ia disertakan pada pemantauan ini.

Selain daripada fungsi terbina, satu lagi aplikasi khusus dengan fungsi yang lebih kurang sama adalah Onavo Count.

Anda juga turut boleh mengurangkan penggunaan data dengan memilih tetapan “Restrict Background Data“, tetapi perkara ini mungkin memberikan kesan terhadap beberapa aplikasi lain.

Mengurangkan Data Ketika Melayari Web

Ketika menggunakan peranti mudah-alih, adakalanya anda ingin mengakses sesuatu laman web terus dengan pantas. Anda turut boleh menjimatkan penggunaan data dengan menggunakan beberapa pelayar web khusus.

Salah satu yang popular adalah Opera Mini, yang mana menawarkan penjimatan data sehingga 90% dengan compress saiz fail sebelum ditawarkan kepada anda.

Selain Opera Mini, kini pelayar web Chrome juga turut hadir dengan fungsi terbina, dinamakan sebagai “Reduce Data Usage” yang boleh diaktifkan melalui tetapan pada Chrome.

Chrome Reduce Data

Mengaktifkan Fungsi Kemaskini Aplikasi Menggunakan WiFi Sahaja

Salah satu perkara yang menggunakan data agak tinggi pada peranti mudah-alih adalah sokongan kemaskini aplikasi melalui Google Play. Kadang-kala, anda mungkin tidak perasan akan aplikasi anda dikemaskini pada latar yang menggunakan kadar data yang agak tinggi.

Google Play WiFi Update

Anda boleh memantau dan mengurangkannya dengan mengaktifkan fungsi untuk mengemaskini aplikasi ketika dihubungkan ke rangkaian WiFi sahaja.

Untuk mengaktifkannya, anda hanya perlu membuka Google Play Store, ke halaman Settings, dan memilih tetapan Auto-update Apps kepada WiFi sahaja.

Menggunakan Sokongan Peta Offline

Fungsi peta seperti pada Waze dan Google Maps tidak menggunakan data yang tinggi seperti beberapa aplikasi lain. Tetapi, anda masih boleh menjimatkan penggunaan data dengan menggunakan aplikasi alternatif yang menawarkan sokongan offline.

HERE Maps Offline

Salah satunya adalah aplikasi peta percuma daripada Nokia iaitu HERE Maps, yang mana membolehkan pengguna memuat-turun data peta untuk disimpan pada peranti dan digunakan secara offline. Google Maps turut menawarkan fungsi lebih kurang sama, tetapi ia masih tidak menyokong untuk menyimpan data peta Malaysia buat masa ini.

Lain-Lain

Android Quick MenuTerdapat beberapa kaedah lain yang turut menawarkan kemudahan untuk pengguna menjimatkan penggunaan data. Antaranya termasuklah menggunakan rangkaian 3G menggantikan rangkaian 4G LTE. Selain itu, anda turut boleh mematikan fungsi sync ketika menggunakan rangkaian data, dan mengaktifkannya hanya pada ketika menggunakan rangkaian WiFi. Perkara ini akan membolehkan anda hanya memuat-naik dokumen dan data ke perkhidmatan seperti Dropbox ketika berhubung ke WiFi sahaja. Beberapa aplikasi hadir dengan sokongan ini secara terbina yang mana anda boleh memantaunya menggunakan halaman tetapan pada aplikasi berkenaan.

Selain itu, terdapat juga aplikasi seperti Onavo Extend yang menawarkan kebolehan untuk mengurangkan saiz data yang dihantar dan diterima oleh anda.

Untuk pengguna peranti Android daripada Huawei, Honor, dan juga Xiaomi, beberapa fungsi khusus turut disertakan, termasuk kebolehan untuk memantau aplikasi menggunakan rangkaian data sahaja, atau WiFi sahaja, atau kedua-duanya. Ini membolehkan anda untuk mengawal aplikasi yang penting sahaja untuk mengakses rangkaian data anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd